Comic Art Festival Kuala Lumpur (CAFKL4) 2017 Berlangsung Sederhana tetapi Meriah!

125

Written by:

Satu lagi acara komik tempatan telah sukses diadakan.

Acara tahunan untuk Comic Art Festival Kuala Lumpur (CAFKL4) yang berlangsung buat kali keempat tahun ini berlangsung dalam suasana sederhana meriah dengan sambutan menggalakkan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Ia merupakan satu petanda positif bahawa senario komik tempatan masih lagi bernafas dan ‘bernyawa’ walaupun dihimpit keadaan ekonomi semasa serta cabaran-cabaran logistik niaga industri kreatif nasional yang semakin lama semakin meruncing. Dewan Bunga Raya yang terletak di dalam premis Kompleks Campbell, Kuala Lumpur telah menjadi tuan rumah untuk edisi kali ini yang telah berlangsung pada 29 dan 30 Julai, 2017 lalu.

Bukan sekadar meraikan kepelbagaian kreativiti industri komik dan latarbelakang bakat-bakat pengkarya komik tempatan, CAFKL hadir dengan keunikan dan kelainan yang jarang-jarang terlihat untuk acara seumpamanya sejak bermula tiga tahun dulu.

Tidak seperti acara besar komik, kartun, cosplay dan permainan lain, CAFKL lebih menjurus ke arah sebuah gabungan atau ‘perhimpunan’ bakat-bakat serta minda-minda kreatif secara fokus dan teratur dalam lapangan komik tempatan. Dianjurkan oleh Sequential Arts Youth Society (SAYS), organisasi tersebut mensasarkan untuk mendidik khalayak ramai tentang komuniti anime, komik dan permainan atau ACG yang semakin berkembang di Malaysia serta memberi peluang kepada bakat-bakat independen dan arus perdana untuk sama-sama memeriahkan industri.

Antara yang hadir sebagai pempamer di CAFKL4 adalah Maple Comics, Lejen Komik, Doodict, Geng Gelabah, AzreenChan, Michael Chuah Design termasuk panel-panel diskusi khas yang menampilkan para profesional dan pengkarya komik dan seni ilustrasi kreatif tempatan seperti Adifitri Ahmad, Arif Rafhan, Mimi Mashud (Maple Comics) Keith, Kaoru (GempakStarz), Tay Yen Ee (Fishball) dan ramai lagi.

Last modified: August 1, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *