10 Rangkuman Menarik Konvensyen Komik Antarabangsa San Diego (SDCC) 2017!

146

Written by:

FilemKomikSemasaTV

Akhirnya, demam SDCC telah berkahir.

Sekiranya anda terlalu sibuk hujung minggu yang baru lalu ini atau sama sekali tidak berdaya dan kesampaian untuk mengikuti segala laporan-laporan terkini yang hadir bertubi dari konvensyen komik terbesar tahunan di muka bumi ini, kami di JEDA.MY bersedia untuk menyegarkan anda kembali.

Selain Marvel Studios yang saban tahun hadir dengan paparan demi paparan video eksklusif sejak turut serta bersama Ekspo D23 minggu lalu di Anaheim, mereka masih tetap muncul dengan persembahan terbaik dengan butiran terbaharu untuk filem Captain Marvel. Ia memberi gambarna secara ringkas tentang hala tuju Semesta Sinematik Marvel (MCU) sejurus selepas tamat Fasa 3 kelak.

Manakala di Semesta Filem DC Comics, Warner Bros. Pictures mengumumkan projek-projek terbaharu mereka yang turut sama mengundang kejutan kepada penonton dengan lebih banyak pembayang jelas tentang masa hadapan premis filem-filem mendatang di bawah naungan Ketua Pegawai Kreatif DC Comics, Geoff Johns dan Naib Presiden Eksekutif Warner Bros. Pictures, Jon Berg.

Berikut adalah 10 senarai rangkuman dan pendedahan terbaik sekitar SDCC 2017 tahun ini:

 

10. Pandang Pertama YOUNG JUSTICE: OUTSIDERS!

Setelah kempen agresif dan petisyen berterusan daripada para peminat seluruh dunia, Young Justice akhirnya muncul kembali untuk Musim Ketiga yang dinanti ramai. Dengan judul Young Justice: Outsiders, siri animasi ini akan mula ke disiarkan menerusi platfrom strim DC (yang masih belum diberi nama rasmi) akan datang pada tahun 2018.  

Di SDCC, peminat telah dipertontonkan dengan pandangan baharu siri tersebut. Ia menampilkan beberapa watak kegemaran ramai selama ini termasuk kemasukan anggota-anggota lain yang mengejutkan peminat serta watak misteri yang mengundang banyak teori-teori tersendiri.

 

9. Filem Aksi Hidup Terbaharu SPAWN Kini Rasmi Diumumkan!

Sejak filem pertama pada tahun 1997, pencipta/penulis dan pelukis komik terkenal Todd McFarlane percaya bahawa sebuah filem Spawn baharu akan dapat disaksikan tidak berapa lama lagi sejak dua dekad lalu.

Dan pada SDCC kali ini, projek tersebut akhirnya telah diumumkan secara rasmi apabila Blumhouse Productions (studio produksi yang membawakan kita blockbuster kultus seperti Paranormal ActivityInsidiousThe Purg, Split, Get Outdijemput bekerjasama menghasilkannya dengan Todd McFarlane sendiri dinobatkan sebagai penulis skrip dan pengarah!

Blumhouse dilapor akan menerbitkan filem tersebut berdasarkan formula sama yang pernah dilaksanakan mereka sebelum ini. Sebagai bonus, bos besar McFarlane Entertainment itu turut mendedahkan yang Kevin Smith juga sedang mengusahakan adaptasi siri komik Sam & Twitch (watak spin-off dari komik Spawn) untuk BBC America.

 

8. DAREDEVIL dan IRON FIST Dilanjutkan untuk Netflix!

Iron Fist bakal kembali dengan Musim Kedua dengan barisan penerbit baharu dan Daredevil pula disahkan untuk siaran Musim Ketiga selepas Netflix dan Marvel bersetuju untuk meneruskan kerjasama mereka selepas siri mini televisyen The Defenders

Semua peminat masih berteka-teki tentang hala tuju cerita jaguh adiwira seni mempertahankan diri ini selepas gabungan mereka dengan Luke Cage and Jessica Jones nanti.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah lagi treler terbaharu The Defenders telah ditayangkan di sana bersama dengan sebuah klip video sebuah babak yang memaparkan watak pertemuan Madame Gao dan Alexandra lakonan Sigourney Weaver. Adakah ini satu gambaran jelas yang menunjukkan Alexandra sebenarnya lebih berkuasa dan amat membinasa berbanding penampilan luarannya sahaja? 

 

7. CW Dedahkan Treler Musm Baharu untuk THE FLASH, ARROW, SUPERGIRL dan LEGENDS OF TOMORROW!

The FlashArrowSupergirl dan Legends of Tomorrow kesemuanya hadir dengan treler baharu di SDCC (yang sebenarnya merupakan tradisi saluran televisyen CW saban tahun di sana) serta memberikan kita banyak perincian menarik untuk episod-episod mendatang.

Dalam video yang dikongsikan, teman-teman Flash cuba meneruskan hidup tanpa kelibat Barry Allen dan Oliver Queen berusaha untuk menjadi seorang ayah manakala pasukan Legends of Tomorrow merencana rancangan tersendiri untuk memperbaiki garis masa sejagat serta Supergirl menampilkan pandang pertama Erica Durance sebagai Alura Zor-El.  Pelakon tambahan untuk siri Black Lightning juga turut diumumkan.

 

6. Hulk Berdialog, Surtur Akhirnya Tampil dalam Treler Terkini THOR: RAGNAROK!

Semasa Sesi Sidang Panel Marvel Studios untuk Thor: Ragnarok di SDCC, Mark Ruffalo mengesahkan bahawa Hulk akan boleh bercakap seperti biasa dalam filem tersebut dan memiliki ‘pemahaman tatabahasa seperti budak berusia dua tahun’. Malah sebelum panel ini bermula, sebuah treler baharu telah dilancarkan dengan lebih banyak pendedahan dan babak-babak serba baharu.

Walau bagaimanapun, masih timbul tanda tanya besar tentang peranan Odin dan Heimdall kali ini yang dikatakan penting oleh Presiden Marvel Studios sehingga membawa jalan ceritanya terus ke Avengers: Infinity War.  

Apakah salah seorang daripada mereka memegang rahsia terakhir untuk kedudukan Permata Infinity terakhir barangkali?

 

5. Tambahan Watak Utama untuk ANT MAN AND THE WASP!

Sebelum ini, Batman telah menjadi Vulture. Dan kini, Catwoman pula telah bertukar menjadi Wasp.

Apakah kemungkinan trend ini akan berterusan? Apakah kita juga bakal melihat Robert Downey Jr. bertukar kem dan muncul dalam Semesta Sinematik DC Comics (DCEU) di masa yang akan datang?

Marvel telah mengesahkan bahawa Michelle Pfieffer (Batman Returns, Dangerous Minds, Scarface) akan memegang peranan sebagai Janet Van Dyne/The Wasp, Laurence Fishburne sebagai Dr. Bill Foster/Black Goliath dan Hannah John-Kamen sebagai Ghost. Sebuah poster eksklusif turut didedahkan hasil karya pelukis konsep Andy Park yang boleh anda lihat di bawah ini:

 

4. Filem Solo DOCTOR DOOM!

Kedengaran rungutan di penghujung Sesi Panel Khas 20th Century Fox di SDCC apabila tiada butiran eksklusif, tiada penampilan pelakon atau tiada sebarang video khas untuk dikongsi bersama dari mana-mana projek filem X-Men yang kini sedang dalam fasa pembangunan mahupun penggambaran prinsipal.

Namun begitu, SDCC tidak akan datang dan pergi begitu sahaja tanpa sebarang berita dari mereka.

Penerbit dan penulis skrip Noah Hawley mengakui bahawa beliau sedang dalam proses membangunkan projek filem solo Doctor Doom tetapi masih belum pasti sama ada ianya bersangkut-paut dengan projek filem Fantastic Four baharu. Pelakon yang memegang watak Victor Von Doom sebelum ini iaitu Toby Kebbell membuat pengumuman yang beliau hanya setuju untuk kembali sekiranya filem seterusnya adalah di bawah seliaan Marvel Studios. Presiden Marvel Studios, Kevin Feige menyatakan bahawa harapan untuk merealisasikannya adalah sangat tipis jika dibandingkan dengan perjanjian Sony/Marvel untuk Spider-Man: Homecoming.

 

3. Ben Affleck Nafi Keras Khabar Angin Beliau Mahu keluar dari THE BATMAN!

Di ambang acara SDCC, khabar angin dan desas-desus sekali lagi bertiup kencang yang menyebut Ben Affleck mahu tinggalkan watak Batman serta-merta setelah tamat komitmen kontrak sebanyak tiga filem usai penggambaran filem Justice League 2.  Walau bagaimanapun sejurus sahaja selepas beliau muncul di khalayak ramai semasa segmen Justice League di bawah Sesi Panel Khas Warner Bros. Pictures, pemenang dua Anugerah Academy itu telah menafikan laporan di atas sekeras-kerasnya.

Percanggahan pendapat serta anomali yang dihimpun peminat selama ini masih meresahkan mereka.

Hanya masa yang dapat menentukan sama ada kontroversi ini memang sengaja dirancang atau adakah ianya sekadar pelan publisiti untuk memeriahkan lagi suasana di kem DCEU dan Warner Bros.

 

2. Semesta Filem DC Comics (DCEU) Semakin Mantap!

Bercakap tentang DCEU, Warner Bros. Pictures memang bercadang untuk  mencari jalan dan berusaha untuk melaksanakan reboot ‘senyap’ bagi membetulkan sebarang kontroversi yang melanda. Antara yang paling pendapat perhatian adalah pengumuman filem Flashpoint.

Apakah mungkin keseluruhan garis masa DCEU bergerak dalam kontinuiti Flashpoint selama ini dan bakal dibongkar dalam beberapa filem lagi?

Selain judul rasmi filem solo The Flash yang cukup mengujakan itu, Warner Bros. Pictures juga merancang untuk terbitan serta tayangan filem Wonder Woman 2Suicide Squad 2Green Lantern CorpsThe BatmanBatgirl dan Shazam. Tiada pengumuman rasmi untuk Gotham City SirensBlack AdamNightwingCyborg dan juga Man of Steel 2.

 

1. Skrull Wujud dalam Semesta Sinematik Marvel (MCU)!

Pihak Skrull akan datang dan membuat onar dalam MCU.

Ini semua bakal terjadi dalam filem Captain Marvel lakonan teraju utama Brie Larson dan Marvel Studios turut mendedahkan bahawa makhluk ini sudah mendarat dan ada di bumi sejak tahun 90an lagi!

Jika anda seorang teoris konspirasi komik yang tegar, pasti anda percaya bahawa mungkin ada salah seorang anggota Avengers merupakan makhluk asing Skrull sejak dari peringkat awal lagi. Dan ini sekaligus mengingatkan kita kepada komik Secret Invasion yang pernah diterbitkan Marvel lebih kurang sedekad yang lalu.

Pendedahan seperti ini sama sekali merupakan alasan yang kukuh untuk menukar beberapa pelakon lama yang akan tamat kontrak untuk ditukar kepada pelakon baharu. Chris Evans dan Robert Downey Jr. mahu keluar dan tidak mahu sambung kontrak bersama Marvel Studios?  Kejutkan penonton dengan pendedahan yang Captain America dan Iron Man adalah penyamar Skrulls sejak dari dulu dan bawa masuk pelakon muda untuk menggantikan mereka.

 

KREDIT BONUS: Video khas The Black Panther mendapat sambutan gemuruh dan tepuk sanjungan (standing ovation) penonton, treler baharu untuk Westworld, Stranger Things dan Bright arahan David Ayer.

Last modified: July 24, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *