Review | SPIDER-MAN: HOMECOMING (2017)

191

Written by:

Spider-Man: Homecoming adalah ibarat sebuah reunion.

Ia mengembalikan semua watak-watak yang mana selama ini milikan hakcipta untuk adaptasi komik ke filemnya telah diperolehi Sony dan kini akhirnya telah pulang semula ke rumah asalnya.

Hasilnya: Sangat memuaskan.

Amat seronok untuk dihadam, bebas dari sebarang unsur-unsur yang boleh mengundang kritikan negatif, sarat dengan elemen humor dan komedi serta jalinan kontinuiti antara Semesta Sinematik Marvel (MCU) yang begitu kemas. Bermula dengan rujukan awal sejaran penerbitan komik Spider-Man, naskah ini senantiasa menekankan bahawa Peter Parker merupakan seseorang yang amat dekat dengan jiwa penonton muda belia remaja: Meniti alam persekolahan penuh pancaroba dan sering diduga cabaran kehidupan rumit tatkala terpaksa membahagikan masa sebagai seorang pelajar dan seorang adiwira yang bakal menganggotai Avengers.

Pengarah Jon Watts sengaja menghimpun seramai lima orang penulis skrip (enam termasuk dirinya sendiri!) bagi menyerlahkan idea serta konsep di sebalik judul “Homecoming”. Dalam masa yang sama juga, ia seolah-olah dinamik serta teras sebuah filem adaptasi komik yang sejak kebelakangan ini kerap dilupakan studio perfileman, terutama sekali mereka yang berada di seberang sana. Ya, yang kami maksudkan itu adalah DC Comics dan Warner Bros.

Malah jika ada perbandingan dengan DC Comics, kami mengibaratkannya sebagai Spider-Man: Year One (rujuk: Batman: Year One karya Frank Miller dan David Mazzucchelli) yang memberi fokus kepada perjalanan cerita dan latihan awal sebelum menjadi seorang superhero.

Filem ini biarpun bermula dari awal kisah hidup Peter Parker sejak penceritaaanya dalam Spider-Man (2002), langsung tidak mengulangi asal-usul riwayatnya dengan sekali lagi menunjukkan bagaimana dia digigit labah-labah semasa rombongan sekolah atau kematian Ben Parker. Ia terus menampilkan Peter Parker kini di bawah jagaan May Parker lakonan Marisa Tomei yang kali jauh lebih muda serta mengajarnya tentang konsep falsafah “with great power comes great responsibility (dengan kuasa yang hebat, akan datang tanggungjawab yang berat)”.

Malah, filem ini bermula dengan prelud sejurus selepas babak akhir Avengers (2012) dan beberapa jam selepas Captain America: Civil War (2016) tamat. Peter Parker telah diterbangkan ke Berlin untuk membantu Iron Man/Tony Stark (Robert Downey Jr.) menahan Captain America serta sekutunya dan kini telah kembali semula ke Queens. Beliau dengan sedaya upaya cuba meyakinkan Tony Stark bahawa dia lebih dari layak untuk menganggotai Avengers biarpun dipaksa pulang awal dari misi di Jerman itu.

Perjalanan seterusnya dalam filem ini memang begitu santai dan menghiburkan dengan beberapa episod komikal di sekitar kejiranannya yang mana kebanyakan jenayah dan penjahat hanya besifat domestik atau tempatan. Ia sengaja menjemput tawa dan mengundang rasa lucu kepada penonton. Tona dan mood bertambah gamat dengan pengenalan teman sekelas bernama Ned (Jacob Batalon) yang secara tidak sengaja tahu akan identiti rahsia beliau sebagai Spider-Man. Ini ternyata memberikan ruang dan peluang untuk watak protagonis filem ini mempunyai seseorang untuk berbicara secara peribadi serta berfungsi mewakilan penonton demi mengagumi Spider-Man versi terbaharu ini selepas Tobey Maguire (trilogi Spider-Man) dan Andrew Garfield (The Amazing Spider-Man, The Amazing Spider-Man 2).

Sementara itu, pertembungan demi pertarungan untuk menahan Vulture dan konco-konconya yakni sekumpulan antagonis dikuasai teknologi makhluk asing yang diambil selepas pertarungan Avengers dan Armada Chitauri dalam Avengers (2012) dan turunnya puak Dark Elves dalam Thor: The Dark World (2013) semakin menyusahkan hidup Spider-Man kerana Tony Stark dan Happy Hogan (Jon Favreau) sering tidak menghiraukannya.

Malah lebih teruk dari itu, dia masih dilihat sebagai seorang remaja yang “tidak tahu apa-apa”.

Tidak sepertimana filem-filem Marvel yang lain, Spider-Man: Homecoming cuba untuk menangguhkan beberapa butiran penting yang menghubungkan kesemua jalan cerita lebih besar dalam MCU. Malah salah satu strategi dan taktikal paling licik adalah bagaimana komposer filem, Michael Giacchino (Rogue One, Star Trek, Jurassic World, The Incredibles) telah berjaya melahirkan adunan skor orkestra muzik yang diintepretasi secara bombastik dari sini animasi retro Spider-Man era 60an sebagai pembuka filem ini.

Walau bagaimanapun, ada satu dua perkara yang dianggap longgar juga. Sebagai contoh: Interaksi Spider-Man dengan suara kepintaran buatan (A.I) ala-ala Siri dalam seragam baharunya yang dihadiahkan Stark Industries. Selain itu, hampir kesemua watak pembantu wanita dalam filem ini juga tampak belum ‘cukup masak’ terutama sekali Liz dan Michelle.

15 tahun sejak filem pertama Spider-Man muncul di layar pawagam, kami rasakan penonton sudah cukup matang untuk menilai bahawa inilah naskah yang belum dipaparkan kepada khalayak komik tetapi ditunggu peminat filem kerana ia penting demi kelangsungan MCU.

Selama hampir 2 jam 15 minit berada di tempat duduk panggung wayang dari mula hingga tamat tayangan, ramai akan berpuas hati dengan kisah kemasukan Peter Parker di dalam MCU sejak kemunculan ringkasnya dalam Captain America: Civil War tahun lalu.

Kami tahu ada banyak lagi kejutan-kejutan yang sengaja mereka simpan selepas ini.

RATING: 4/5

Last modified: July 10, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *