BELASUNGKAWA | Editor Komik, Pengarang Buku dan Penulis AKU HIDUP DALAM BLUES, Azzam Supardi Meninggal Dunia pada Usia 50

303

Written by:

Ini ada berita mendukacitakan buat seluruh peminat komik dan pengikut setia industri kartun tanahair.

Penulis yang cukup popular menerusi siri ‘Aku Hidup Dalam Blues’, Azzam Supardi telah meninggal dunia akibat sakit jantung di Pusat Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sungai Buloh, kira-kira pada jam 7 pagi tadi.

Abang ipar Allahyarham yang juga merupakan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mengesahkan beliau telah diserang angin ahmar tiga kali dengan kejadian pertama berlaku di kediamannya di Saujana Utama dalam tahun ini. Serangan kedua berlaku ketika Allahyarham pulang berhari raya ke kampung isterinya di Pahang, menyebabkannya dimasukkan ke Hospital di Bentong.

Arwah kemudian dipindahkan ke Pusat Perubatan UiTM Sungai Buloh dengan ambulans pada Hari Raya Keempat. Sebelum ini, hampir tiada sesiapa yang mengetahui arwah menghidapai penyakit jantung, tambahan lagi dia dikenali sebagai seorang yang periang. Cuma arwah diketahui menghidap sakit gout dan berkemungkinan arwah sendiri baharu mengetahui mengenai penyakit jantung yang dihadapinya.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Merbau Sempak di Sungai Buloh, tengah hari tadi. Allahyarham meninggalkan balu, Siti Rubiahtuliza Ahmad Tajuddin berserta tiga anak, Fatin Amira Najwa, 18; Muhammad Faiz, 16; dan Fatin Adelia Nisa, 6.

‘Aku Hidup Dalam Blues’ menjadi antara siri yang terkenal dalam majalah Ujang pada dekad 90an dan ditulis oleh dengan menggunakan nama pena Toyon, manakala ilustrasinya pula oleh kartunis Shaari Sulong atau lebih dikenali dengan nama Aie. Arwah pernah menjadi editor majalah dan juga sempat melahirkan beberapa naskah buku yang antaranya adalah Monolog Seorang Lelaki (2013), Prequel Breakfast Blues (2014), Pilo Toq (2015)99 Stress Free Daddy (2016) dan banyak lagi.

Salam Takziah dari kami di JEDA.MY untuk Allahyarham Azzam Supardi dan seluruh ahli keluarga.

Al-Fatihah.

Sumber: FacebookUtusan Malaysia, Berita Harian

 

Last modified: July 4, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *