Review | TRANSFORMERS: THE LAST KNIGHT (2017)

321

Written by:

AnimasiFilemGamingKomikSemasa

Seperkara yang anda perlu tahu tentang karya-karya dan kerja-kerja oleh Michael Bay adalah ianya konsisten.

Konsisten dengan kaedahnya. Konsisten dengan gayanya. Konsisten dengan egonya.

Nama Michael Bay dalam mana-mana projek senantiasa menjamin plot cerita yang (terlalu) pantas serta disantak dengan seberapa banyak letupan besar-besaran dan aksi visual kesan khas melampau. Maka dengan itu, ia bukankah satu kejutan apabila Transformers: The Last Knight yakni filem Transformers kelima arahan beliau dalam tempoh 10 tahun secara dasarnya sedikit sebanyak menawarkan perkara yang sama.

Sekali lagi saya ulangi, Michael Bay adalah seorang pengarah yang ‘konsisten’.

Sebagai salah satu filem musim panas Hollywood tahun 2017 yang berbajet besar dan hanya memerlukan kadar kemampuan intelek di bawah tahap sederhana untuk memahaminya, anda tidak perlu tonton keempat-empat filem sebelum ini untuk mengetahui apa yang berlaku sejak naskah pertamanya pada 2007 dahulu. Bagi sesiapa yang belum pernah tonton satu pun filem Transformers sebelum ini, usah khuatir. Dalam tempoh 20 minit pertama sahaja, semuanya telah terangkun mudah. Michael Bay sebenarnya mahu anda hadir ke pawagam dengan hanya berbekalkan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi untuk bertahan selama 2 jam setengah.

Dan apabila kita mahu mula berbicara tentang filem kelima dalam francais Transformers beliau, Transformers: The Last Knight hadir dengan berita kurang baik dan berita sangat buruk.

Bagaimana anda semua menilai kedua-dua spektrum tersebut bakal memberikan jawapan kepada intipati filem tersebut secara keseluruhan. Berita kurang baiknya adalah ini merupakan filem Michael Bay paling ‘Michael Bay’ atau sarat formulasi ‘Bayhem’ dengan ledakan demi ledakan sejak naskah Bad Boys 2 (2003) arahan beliau. Berita sangat buruknya pula adalah pasti ramai yang meramalkan beliau akan belajar dari kesilapan lampau dan kesalahan lalu tetapi tidak.

Tidak sama sekali.

Bayangkan ini:

Michael Bay telah dengan secara rawak dan rambang menonton semula semua episod dari siri animasi asal Generasi Pertama Transformers atau G1 (1984-1987) dan berkeputusan untuk mengadun semula rentak pembikinannya. Akan tetapi, semuanya nampak sama dan serupa kerana apa?

Kerana Michael Bay adalah Michael Bay.

Beliau mengarahkan kesemua filem Transformers dengan nafsu seorang kanak-kanak sekolah dan dengan logik mereka semasa bermainan permainan Transformers mereka di rumah. Dan mari kita terjah minda fikiran beliau juga pada tatkala itu:

“Kita ada robot.. kita ada kereta.. apa kata kita tambah naga? Naga ini datang dari zaman Raja dulu-dulu. Raja Arthur.. Lepas itu kita tambah lagi Transformers dari era Perang Dunia. Lepas itu nanti kita letak Cybertron.. Optimus Prime akan jadi jahat dan bergaduh dengan Bumblebee. Nak come sikit, kita letak Transformers versi bayi.. Kita tengok apa jadi. Mesti meletup punyalah!”

Pada setiap pengkritik-kritik filem, mereka punya standard dan pengharapan tersendiri. Namun mereka mempunyai kriteria yang lebih kurang sama pada semua aspek. Jalan cerita yang bagus, watak dan perwatakan yang baik dan komponen-komponen filem yang berkadaran dengan kemahuan jalan cerita serta kehendak watak dan perwatakan filem. Untuk Transformers: The Last Knight, itu semua nampaknya telah diabaikan sejak Transformers: Revenge of the Fallen (2009).

Pendek kata: Ke laut perginya. Ke laut dalam.

Berilah seberapa banyak wang dan bajet kepada Michael Bay dan semua krew produksinya untuk menghasilkan sebuah lagi filem walaupun bukan sebuah filem Transformers. Asalkan dipenghujung tarikh tayangan nanti ada kutipan box-office dan untung berlipat kali ganda dari modal asal filem, bagi Michael Bay itu adalah kejayaan hakiki.

“Persetankan kritik dan kecaman,” kata Michael Bay dalam hatinya yang hanya Tuhan yang tahu.

Dengan sejarah peradaban dunia diubah adun dengan kehadiran spesis Transformers sejak dari zaman purba dalam Transformers: Age of Extinction (2014), apa lagi yang kami mahu perkatakan tentang naskah terbaharu terbitan Paramount Pictures dan Hasbro ini?

Raja Arthur, Leonardo da Vinci, Adolf Hitler, Illuminati, Freemason, Witwicky/Witwiccan termasuk peranan Autobot dan Decepticon dalam pembentuka  Orde Baru Dunia terpampang jelas dalam filem ini.

Malah, kehadiran pelakon veteran seperti Anthony Hopkins juga tidak dapat menyelamatkan Transformers daripada jatuh ke lembah dan lohong kebinasaan francais filem ini.

Tidak dinafikan aksi, syot dan kepaduan kesan khas serta keberkesanan kamera untuk format tayangan in IMAX 3D adalah begitu amat cemerlang. Terutama sekali pada babak terakhir. Maka percayalah sekiranya filem ini sekali lagi berjaya memecah rekod panggung dan mengaut untung yang banyak, persaraan yang disebut-sebut oleh Michael Bay sejak dua filem terdahulu itu hanya mitos. Sama seperti mula-mula beliau menolak tawaran untuk membuat filem Transformers pertama lebih sedekad yang lalu.

Adakah filem ini seteruk sepertimana yang disebut-sebut oleh ramai orang? Adakah filem ini terlalu bombastik sehingga ia berjaya membunuh reputasi Transformers: Revenge of the Fallen sebagai naskah paling ‘hancur’ dalam francais ini? Adakah Michael Bay sudah terlalu mabuk kuasa dan sangat bebas berbuat apa sahaja dengan harta intelek milik Hasbro ini?

 

Jawapannya: Tidak. Tidak

.. dan TIDAK.

IA LEBIH JAHANAM DARIPADA KESEMUA YANG DI ATAS.

RATING: 1/5 

Last modified: June 29, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *