Pengarah Anthony dan Joe Russo Dedahkan Sebuah Foto Misteri dari Set Produksi AVENGERS: INFINITY WAR!

207

Written by:

Semakin menuju penutup Fasa 3 Semesta Sinematik Marvel, semakin berdebar pula rasa di dada.

Pengarah adik-beradik iaitu Anthony dan Joe Russo (Captain America: The Winter Soldier, Captain America: Civil War) telah berkongsi beberapa foto-foto eksklusif dari set penggambaran sejak beberapa tahun lalu dan yang terkini hadir dari lokasi Avengers: Infinity War.

Seperti yang dapat anda saksikan menerusi entri Twitter terbaharu mereka, foto tersebut menampilkan sebuah peranti misteri yang kelihatan berkonsepkan kosmik dan futuristik.

Jelas sekali terdapat pelbagai teori serta kebarangkalian apakah tujuan peranti ini tetapi banyak spekulasi yang sedang berlegar di internet sekarang menyatakan ianya ada mempunyai kaitan dengan seragam besi Iron Man. Dengan pertembungan akhir menentang Thanos bakal meletakkan hampir kesemua anggota Avengers jauh ke hamparan luas angkasa lepas, ia merupakan satu anggapan yang logik untuk Tony Stark membina sebuah seragam khas untuk misi seumpamanya.

Terutama sekali apabila kita merujuk kepada babak tempur akhir dalam The Avengers (2012) di mana Tony Stark telah disedut ke dalam lohong angkasa yang hampir-hampir sahaja meragut nyawanya!

Walau bagaimapun, kita terpaksa mengambil sikap tunggu dan lihat buat masa ini kerana filem Avengers: Infinity War hanya akan ditayangkan lebih kurang setahun daripada sekarang. Diharapkan kita akan dapat pengumuman dan pendedahan rasmi tidak lama lagi tentang perkembangan filem di atas.

Lihat foto peranti misteri tersebut menerusi akaun Twitter rasmi milik Russo bersaudara tersebut di bawah ini:

Last modified: June 15, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *