10 Trivia Menarik dalam Treler Rasmi Sulung BLACK PANTHER!

259

Written by:

Treler teaser rasmi sulung untuk filem Black Panther telah tiba semalam.

Dan penonton telah di bawa terus menyusup masuk ke dalam aksi pertarungan jalanraya di Seoul, Korea Selatan hingga jauh ke dalam rimba belantara dan kemajuan kerajaan futuristik Wakanda yang bakal mendedahkan pelbagai ancaman bahaya kepada Raja T’Challa.

Dengan durasi hampir dua minit, video treler ini adalah sangat pantas dalam memperkenalkan kita kepada dunia baharu di bawah arahan Ryan Coogler.

Ada banyak yang perlu dikaji dan dianalisa dalam treler teaser ini. Oleh itu tanpa membuang masa lagi, kami ingin membawa anda kepada perincian-perincian tersebut satu-persatu dari mula hingga tamat video tersebut!

 

10 | Ulysses Klaue Beri Pencerahan tentang Wakanda kepada Everett Ross!

Ibarat reunion filem Hobbit, penyeludup senjata Ulysses Klaue lakonan Andy Serkis yang kali terakhir dilihat menerusi filem Avengers: Age of Ultron dan menjual sejumlah besi waja Vibranium secara haram kepada seteru robotik itu nampaknya sedang disoal siasat oleh Pegawai Khas CIA Everett K. Ross lakonan Martin Freeman.

Menurut pengarah Ryan Coogler, lokasi babak ini adalah di sebuah pusat tahanan di Korea Selatan.

Perbualan yang kita dapat dengari antara mereka berdua menjelaskan bahawa betapa banyak yang dunia luar tidak tahu tentan negara dan kerajaan Wakanda. Dialong Everett Ross mengatakan:

“It’s a Third World country. Textiles, shepherds, cool outfits..

Lain pula Ulysses Klaue, jauh sekali daripada apa diketahui ramai:

“All a front.. ”

Respon beliau amat jelas. Ramai peneroka dan pengembara telah cuba membongkar rahsia kehebatan Wakanda dan menggelarkannya ‘El Dorado’. Ramai yang mencarinya di Amerika Selatan. Sedangkan selama ini ia terletak di Afrika sejak dari dulu lagi. Beliau juga mengakui pernah melihat kemajuan teknologi negara tersebut yang mendahului zaman dan telah menjejakinya serta berjaya keluar dengan selamat.

Kerajaan Wakanda seperti yang termaktub dalam sejarah komik mempunyai limpahan sumber Vibranium yang banyak, yakni bahan serta komponen besi waja yang sama melahirkan perisai Captain America.

 

9 | Yang Memerhatikan, Yang Diperhatikan..

Chadwick Boseman yang memegang peranan sebagai Raja T’Challa/Black Panther pernah diperkenalkan tahun lalu buat pertama kali menerusi Captain America: Civil War dan ketua pegawai keselamatan bernama Okoye lakonan Danai Gurira yang popular menerusi siri televisyen The Walking Dead) tampak sedikit gusar apabila memerhatikan apa yang berlaku di sebalik cermin kaca.

Bukan sahaja kelibat mereka disedari Ulysses Klaue, malah mereka bimbang tentang ancaman yang mendatang sekiranya kedaulatan rahsia kerajaan Wakanda terbongkar kerana kekayaan sumber dan kemajuan teknologi.

 

8 | Memperkenalkan: Erik Killmonger!

Michael B. Jordan (Creed, Fantastic Four) muncul amat dramatik dalam treler ini demi memperkenal watak Erik Killmonger. Dengan bantuan orang  kuatnya, beiau telah meletupkan sel tahanan CIA dan membebaskan Ulysses Klaue. Sebagai seorang pelarian Wakanda yang mahu menjatuhkan takhta T’Challa sebagai pemerintah, Killmonger mempunyai sejarah komik yang panjang sepertimana Black Panther dan Ulysses Klaw (atau Klaue, menurut ejaan dalam Semesta Sinematik Marvel).

Dalam Marvel Comics, ayahanda Killmonger telah dipaksa dan dikerah untuk membantu Klaw apabila pasukannya tiba untuk menyerang Wakanda. Dan setelah siri serang hendap ini berjaya dipatahkan dan kematian ayahandanya, seluruh keluarga Killmonger telah diusir ke bandar New York yang mana peristiwa tersebut telah mendatangkan amarah membara dalam diri terhadap kedua-dua Klaw and T’Challa.

Beliau mahu membalas dendam di atas kematian ayahandanya.

Dengan menggunakan nama samaran lain, akhirnya Killmonger berjaya meloloskan diri semula masuk ke Wakanda dan terus melancarkan rampasan kuasa secara subversif. Rampasan kuasa itu hanya sementara. Killmonger kembali tumpas dan ditundukkan di tangan musuh abadinya itu.

Bagaimana Erik Killmonger dan Ulyssess Klaue berjaya mencapai kata sepakat dalam filem Black Panther masih lagi menjadi tanda tanya.

 

7 | Selamat Datang ke Wakanda!

Sejurus selepas dialog di antara Ulysses Klaue dan Everett K. Ross memberikan dua perspektif berbeza terhadap Wakanda, treler teaser ini mempersembahkan kepada kita dua sisi kerajaan itu:

Budaya penuh tradisi (serta mistikal) dan maju berteknologi canggih.

Ia dimulakan dengan babak Air Terjun Pahlawan atau Warrior Falls, sebuah lokasi yang amat sinonim dan cukup dikenali untuk pengikut setia pengembaraan Black Panther ciptaan Stan Lee dan Jack Kirby sejak mula diperkenalkan dalam Fantastic Four #52 (Julai 1966).

Ini merupakan lokasi lazim di mana semua keturunan Raja-raja Wakanda ditabalkan. Ia dapat dilihat dengan sepintas lalu dalam treler apabila T’Challa dipilih menggantikan ayahandanya T’Chaka yang terkorban tahun lalu semasa kejadian filem Captain America: Civil War. 

Selain itu jika kita menyelusuri sejarah komik, ia juga tempat di mana banyak pertembungan dan pertempuran di antara Black Panther dan Erik Killmonger berlaku.

Percayalah bahawa babak di Warrior Falls akan wujud lebih dari sekali dalam filem ini kelak.

 

6 | Zuri, Tok Batin Wakanda!

Babak ini memperkenalkan kepada kita pandang pertama untuk watak Forest Whitaker sebagai Zuri, seorang lagi penambahan terbaharu kepada mitos Black Panther yang bertindak sebagai penasihat spiritual atau ‘Tok Batin’. Biarpun sudah dimamah usia tetapi beliau tetapi disegani kerana memiliki pengalaman tempur perang yang luas dalam siri komik asal.

Di dalam treler, beliau dapat dilihat menjadi saksi kepada upacara pertabalan T’Challa yang melibatkan kuasa mistik Herba Bentuk Hati (Heart-Shaped Herb). Dipercayai merupakan kurnia daripada Dewa Harimau Kumbang, tumbuhan tersebut hidup secara mutasi hasil daripada ledakan meteorit Vibranium yang jatuh sejak bertahun lamanya di Wakanda. Disebakan tumbuhan mistika inilah, kesemua keturunan DiRaja Black Panther memperolehi kuasa luarbiasa yang meningkatkan kekuatan, kelajuan, ketahanan dan daya sembuh mereka.

 

5 | Wakanda adalah Kerajaan Futuristik Masa Hadapan!

Selain memperkasakan teras tradisi dan bentuk budaya turun-temurun, Wakanda juga adalah sebuah negara yang amat moden, canggih dan futuristik.

Imej di atas memperlihatkan Pesawat Pejuang DiRaja (Royal Talon Fighter) milik T’Challa sedang terbang rendah di ruang udara ibukota Wakanda iaitu Birnin Zana. Di sini terletakya Istana DiRaja Negara, Necropolis, Lapangan Terbang Antarabangsa Wakanda dan banyak lagi.

Sumber kekayaan dan kemewahan Wakanda dan juga yang menjana kemajuan teknologi negara tersebut memang jelas sekali adalah Vibranium. Lokasi sebenar di mana sumber asli ini disimpan adalah dijaga rapi dan dikawal ketat daripada mana-mana pengetahuan dan ancaman luar.

 

4 | Senjata Super Sulit Wakanda!

Pemenang Anugerah Academy, Lupita Nyong’o (12 Years a Slave, Star Wars: The Force Awakens) turut membintangi filem ini sebagai Nakia iaitu salah seorang pahlawan hebat yang diberi gelaran Dora Milaje, pengawal dan hulubalang peribadi kepada Pemerintah Agung Wakanda.

Dipilih secara teliti dari setiap puak di bawah jajahan Wakanda, kesemua wanita-wanita luarbiasa ini amat terlatih oleh pakar dalam semua jurus mempertahakan diri dan seni tempur dalam menegakkan keamanan dan mempertahankan kedaulata raja mereka.

 

3 | Selain Killmonger, M’baku juga adalah Ancaman Tambahan Black Panther!

Erik Killmonger mungkin bukan satu-satunya masalah yang terpaksa di hadapi oleh T’Challa.

Kita juga akan diperkenalkan dengan M’Baku atau lebih dikenali oleh pembaca-pembaca komik Marvel sebagai ‘Man-Ape’ lakonan Winston Duke (Person of Interest, Modern Family). Watak ini adalah ketua kepada puak gasar pergunungan yang digelar Jabari.

Persoalannya di sini adalah adakah M’Baku ini kawan atau pun lawan?

Secara lazim, Man-Ape atau M’Baku ini adalah seorang antagonis yang memiliki kekuatan, kelajuan dan ketahanan luarbiasa selepas memakan daging seekor gorila putih dan mandi dengan korban darahnya. Namun di dalam treler ini, beliau dilihat sedang bertempur dengan Killmonger di dataran Warrior Falls.

Secara teori, ada kemungkinan kesemua mereka yang terbabit ini sedang merebut takhta kerajaan Wakanda.

Lebih mengejutkan, M’Baku disahkan akan kembali muncul dalam Avengers: Infinity War, pada penghujung tahun hadapan yang mana ini menambahkan satu lagi lapisan misteri kepada peranannya dalam Black Panther.

 

2 | Teknologi dan Inovasi Wakanda = Pencabar Stark Industries?

Sama ada M’Baku bersekutu bersama beliau atau tidak, Black Panther tetap akan mempunyai ramai sokongan dan bantuan.

Selain srikandi pahlawan Dora Milaje, T’Challa juga ada seorang adik perempuan bernama Puteri Shuri yang dilakonkan oleh Letitia Wright (Ready Player One, Humans). Seperti yang pernah diterangkan oleh pelakon tersebut dalam satu kenyataan media baru-baru ini, Shuri merupakan seorang saintis yang merekacipta kesemua teknologi-teknologi baharu di Wakanda.

Malah pengarah filem ini turut dengan berani mengesahkan bahawa tahap kemahiran dan kebijaksanaan Shuri adalah setanding Tony Stark!

 

1 | Ibunda Black Panther, Ramonda!

Nadi kepada keluarga T’Challa setelah pemergian ayahandanya adalah ibunda Ramonda, lakonan calon Anugerah Academy iaitu Angela Bassett.

Di dalam treler ini, beliau kelihatan berada di puncak gunung bersalju bersama Lupita Nyong’o sebagai Nakia, Letitia Wright sebagai Shuri dan Martin Freeman sebagai Everett K. Ross yang mana akhirnya beliau sendiri dapat mengenali dunia Wakanda sendiri secara peribadi.

 

BONUS!

Untuk mereka yang tertanya-tanya apakah nama artis dan latarbelakang muzik mantap untuk treler teaser rasmi sulung Black Panther di atas, anda boleh dengar secara penuh di bawah ini:

Black Panther akan berada di pawagam seluruh dunia pada 16 Februari, 2018.

Last modified: June 10, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *