Review | WONDER WOMAN (2017)

193

Written by:

Buangkan segala klisé dan stereotaip tentang Wonder Woman yang anda tahu selama ini.

Ternyata kehadiran filem terbaharu dalam rancangan dan kesinambungan Semesta Sinematik DC (DC Films) berdasarkan kisah komik Puteri Amazon di atas merupakan sebuah jentera kuasa adiwira/wirawati yang mantap, cerita cinta yang segar, pembentukan semula sebuah genre yang semakin malap serta naskah cemerlang dalam mengangkat panji serta martabat wanita dan feminisme ke layar pawagam.

Tidak dapat dinafikan, sudah terlalu banyak filem-filem superhero dan adaptasi komik yang semakin serius dan ‘gelap’, terlalu ‘sempurna’, tidak relevan, hilang arah dan kadangkala bercanggah dengan prinsip serta konsep penceritaandalam kategori tersebut.

Tetapi buat pertama kali sejak sekian lama, wujud kembali seorang adiwira yang sebenarnya sungguh layak dan amat berminat dengan segala tanggungjawab dan amanah diberi.

Dan beliau adalah seorang wanita.

Akhirnya setelah lebih 75 tahun menanti, Wonder Woman hadir dalam sebuah naskah filem milik beliau sendiri.

Biarpun usaha tersebut sepatutnya perlu hadir lebih awal, anda tetap akan berasa penantian itu tampak berbaloi dengan tayangan filem ini. Diarahkan dengan begitu teliti berdasarkan sumber dan rujukan asal komik oleh Patty Jenkins (Monster, Arrested Development, Entourage)Wonder Woman adalah hasil daripada kombinasi kematangan dan kecerdikan produksi yang sudah menemukan ramuan lengkap dalam jelmaan teraju utama mereka iaitu Gal Gadot.

Ramai di antara kita pastinya masih ingat lagi akan kemunculan sulung dan dramatik beliau filem Batman v Superman: Dawn of Justice. Dan paparan pertama beliau ke layar pawagam itu memang jauh menjangkaui lebih daripada apa yang dijanjikan kepada para penonton.

Patty Jenkins yang terdahulu pernah mengarahkan filem pemenang Anugerah Academy lakonan Charlize Theron berjudul Monster (2003) telah meladeni cerita asal-usul Diana Prince dengan baik sebagai peluang untuk mengembangkan skop roman seorang watak keturunan dewa jelita yang ditakdirkan menjadi penyelamat manusia pada era Perang Dunia Pertama.

Dengan menjadikan Pulau Keramat Themyscira sebagai tanah perlindungan masyarakat Amazon yang bebas dari kehadiran kaum lelaki, Puteri Diana membesar dengan seribu satu persoalan tentang dunia yang wujud di sebalik pulau bunian itu. Ini sekaligus mengingatkan kita kepada nasib yang sama dialami oleh puteri-puteri animasi Disney seperti Ariel (The Little Mermaid, 1989), Merida (Brave, 2012) dan Moana (Moana, 2016).

Tidak terlalu yakin dan percaya akan kesangsian ibunda Hippolyta terhadap kerapuhan dunia manusia yang ditadbir lelaki, Diana kelihatan lebih bersemangat serta serasi bersama ibu saudaranya iaitu Jeneral Antiope yang mahu beliau menyerlahkan potensi sebenar sebagai seorang puteri berketurunan dewa.

Dengan segala latihan dan pengetahuan yang diturunkan, Diana masih lagi tertanya-tanya dan berteka-teki dengan peranan sebenar beliau dalam hidup. Beliau mahukan lebih daripada apa yang dilalui dalam kehidupan.

Diana mahukan kebebasan untuk berjuang dalam dunia yang terbentang luas.

Takdir pula seolah tiba-tiba hadir menjemput apabila seorang tentera perisik bernama Kapten Steve Trevor (Chris Pine) jatuh terhempas di pulau Themyscira. Kemuncak keinginan untuk Diana meninggalkan tanah tumpah darah kelahirahannya semakin melonjak tinggi dengan peristiwa itu demi membantu dunia luar melawan dan menghentikan “Ibu Segala Perang” secara serta-merta.

Biarpun misi diancam bahaya dan berhadapan dengan bala tentera Nazi Jerman di bawah telunjuk Jeneral Ludendorff (Danny Huston) di samping pembantunya yang setia iaitu Dr. Poison (Elena Anaya), Wonder Woman tetap tidak berganjak untuk melaksanakan hasrat hatinya yang dipendam sejak kecil.

Sekiranya Kapten Trevor terkesima dengan kewujudan wanita-wanita Amazon dan menganggap episod tahanan beliau di Themisycra sebagai sebuah ‘Fantasi Klasik Lelaki Alfa’, Diana pula merendah-rendakan maruah lelaki sebagai hanya perkakas untuk melahirkan zuriat dan sama sekali menolak segala prejudis terhadap wanita dunia moden serta pemikiran konservatif mereka teruma sekali sekali dari sudut pemakaian dan berkeputusan.

Walau bagaimanapun, Diana masih tetap tidak perlu berkompromi akan status kewanitaanya di mana jua atau perlu membuktikan bahawa wanita juga adalah setaraf lelaki dalam segala hal dan urusan.

Beliau langsung kegirangan apabila ternampak kelibat bayi di tepi jalan, merasai nikmat aiskrim buat pertama kali seperti seorang kanak-kanak, membenarkan hatinya mendahului akal fikiran dalam banyak perkara dan paling penting sekali: Sentiasa menjadi diri sendiri.

Cinta adalah sumber keyakinan dan kekuatan Wonder Woman, bukan penyebabab menjadi longlai dan lemah.

Dengan menggunakan segala idealisme dan pegangan prinsip secara berkesan, sepertimana beliau menggunakan tiara pusaka, gelang sakti, cemeti keramat dan pedang dewa; Diana telah menzahirkan ciri-ciri kepahlawanan Amazon sejati dengan hanya satu matlamat: Menumpaskan Ares, Sang Dewa Perang (yakni putaran plot sebenar dalam filem ini dengan persembunyian watak yang begitu licik).

Setiap kali Wonder Woman beraksi dalam mana-mana babak tempur seperti mengelak dan menepis tembakan bertubi-tubi senapang dan pistol, meranapkan batalion dan angkatan perang bersenjata, merobohkan bangunan dan kubu kuat musuh; tiada apa yang dapat menghalangkannya.

Ini sewajarnya patut menjadi bukti serta perbandingan buat semua peminat setia Superman dan Batman.

Tidak keterlaluan jika kami kami labelkan ia sebagai babak pelakar sejarah epik dalam DC Comics.

Mengagumkan juga bagaimana Patty Jenkins selaku pengarah dapat memperkasakan idea keseimbangan dan kesaksamaan peranan antara lelaki dan wanita apabila ramai meramalkan filem ini akan menjadi ‘berat sebelah’ dengan satu gender enggan menyerah dan satu lagi gender mempunyai naluri kuat untuk mendominasi.

Dengan watak Kapten Trevor dan rakan seperjuangannya makin lama makin diletakkan ke belakang dan Diana menerajui kesemua babak separuh akhir filem ini, wujud faktor realisme untuk strategi ini. Mudah dan tidak ada lohong plot yang membuatkan penonton tertanya-tanya.

Lebih membanggakan, tidak terdapat sebarang penyataan stereotipikal dan dan klisé yang dijadikan label untuk Wonder Woman.

Kesimpulan ringkas di sini adalah filem ini berkemungkinan besar boleh dicalonkan sebagai antara filem dalam Semesta Sinematik DC setakat ini sejak Man of Steel (2013).

RATING: 4/5

Last modified: June 2, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *