Review | THE FATE OF THE FURIOUS (2017)

240

Written by:

Francais filem ini memang terbukti adalah jenis francais filem yang ‘berani mati’.

Menurut Vin Diesel dalam acara CinemaCon 2017 bulan lalu, beliau dengan berani dan jujur menjanjikan bahawa filem The Fate of the Furious (atau Fast & Furious 8 atau Fast 8 atau F8) bakal menjadi ” ..antara filem terbaik pernah ditonton untuk tahun ini”.

Sama ada anda mahu percaya atau tidak akan kenyataan di atas, itu terpulang pada pendapat masing-masing.

Ramai di antara kita kenal dan menggemari francais tersebut. Menggemari kesemua barisan watak dan pelakon utama. Menggemari jalan cerita yang kerap membawa kita jauh ke sempadan imaginasi kereta sport dan perlumbaan jalanan. Tetapi apa kata kita mulakan review ini dengan kenyataan Vin Diesel itu tadi.

“..antara filem terbaik pernah saya tonton untuk tahun ini”

Ya. Mungkin kenyataaan itu agak berat sebelah kerana beliau adalah penerbit dan pelakonnya. Mungkin juga ada suara-suara sumbang di luar sana melabelkan kenyataan tersebut sebagai ‘mengarut’ dan ‘tidak masuk akal’.

Namun hakikatnya, itu adalah fungsi dunia sinematik di pawagam yang sebenar. Filem ini bermula jauh ke Cuba. Kemudian ke New York. Dan berakhir terus ke kawasan tundra beku di Utara Rusia. Tahap ekstrem yang sesungguhnya membawa aras filem ini dlebih laju, lebih deras, lebih besar dan lebih segala-galanya. Sebagai filem dengan tujuan untuk menghiburkan dan ‘seronok-seronok’, anda patut anggap ini sebuah naskah yang berjaya mencapai sasaran dan menguasai pasarannya.

The Fate of the Furious memang sebuah filem yang ‘melampau’ dari semua sudut dan aspek daripada francais yang mula-mula hadir lebih 15 tahun yang lalu. Namun dalam masa yang sama, ia menghadiahkan kita tema keluarga dan kekeluargaan yang selama ini dijiwai sedalamnya watak Brian O’Conner oleh mendiang Paul Walker. Sungguh menjadi dan amat emosional sehingga ada beberapa babak menerusi ini mudah membuatkan kita rasa tersentuh.

Nyata sekali filem ini boleh tercalon di antara filem terbaik pernah ditonton oleh mana-mana pengikut dan peminat setia francais Fast and Furious.

Walau bagaimanapun, babak aksi fiksyen dan kerelatifan logik yang perlu wujud untuk sesiapa pun yang mahu menonton filem ini harus berada pada tahap maksima. Sepanjang tempoh 136 minit di dalam panggung wayang, keupayaan mental dan kecergasan imaginasi anda tadi harus berada pada kemuncaknya.

Tanpa usaha untuk menyusup dan mendedahkan jalan cerita yang boleh dianggap spoiler, ada satu formula baharu yang direncanakan untuk filem kelapan ini. Suntikan debaran dan elemen kejutan memang bukan seperti yang biasa kita tonton sebelum ini. Berdasarkan treler promosinnya sahaja sudah cukup untuk membuatkan kita resah dan gundah-gulana.

Dominic Toretto belot dan membelakangi keluarganya.

Antagonis utama wanita pertama yang lebih bijak dan lebih licik.

Perjalanan dari satu lokasi ke satu lokasi yang sukar diramal dan diduga kesudahannya.

Kesukaran dan kesulitan inilah yang membuatkan penonton benar-benar terhambat di layar pawagam dari mula hingga selesai tayangan. Anda tidak akan tahu dari mana hendak ke mana jalan cerita filem ini membawa kita. Siapa yang mempunyai agenda yang betul dan siapa pula sebaliknya.

Dan apabila sampai ke babak di mana anda dimaklumkan mengapa dan kenapa Dom berpaling tadah, maka dengan serta-merta perasaan benci dan marah anda kepada watak Cipher lakonan Charlize Theron (Mad Max, Atomic Blonde, Kubo and the Two Strings) akan mendidih, meledak, meluap-luap biarpun pada ketika itu tampak mustahil ditewaskan.

Beliau seolah-olah kebal dan tidak ada satu pun titik kelemahan yang boleh menumpaskannya.

Filem ini seakan-akan berlangsung dan berlaku di serata pelusuk dunia. Sepertimana sama dan serupa yang kita pernah saksikan menerusi Fast 5, Fast 6 dan Fast 7. Dengan babak pemula yang menyaksikan Dom dan Letty sedang berbulan madu, kemudian ke Berlin, Jerman sebelum lanjut ke bandaraya New York dan kawasan beku Tundra di Rusia.

Daripada sebuah francais bersifat lokal dan domestik, kini mereka sudah meluru jauh ke seluruh antero dunia antarabangsa. Dengan segala macam cabaran luarbiasa dan logistik sepanjang perjalanan, ahli keluarga utama dalam francais ini (kecuali Paul Walker/Brian O’Conner) termasuk penambahan watak Dwayne ‘The Rock’ Johnson, Jason Statham dan Kurt Russell dan kemasukan Helen Mirren dan Scott Eastwood dijamin bakal merangka plot berterusan untuk dua buah lagi filem yang telah rasmi diumumkan oleh pihak studio.

The Fate of the Furious di bawah arahan F. Gary Gray (Straight Outta Compton, Law Abiding Citizen) telah berjaya menaikkan lagi tahap jalan cerita, plot di dalam plot, babak aksi lagak ngeri dan terutama sekali dialog komedi humor yang hebat ‘lain macam’.

Anda akan tergelak mendengar dialog The Rock, Jason Statham, Ludacris, Tyrese Gibson dan juga termasuk pelakon veteran, Helen Mirren.

Tidak cukup dengan itu, anda akan turut berasa sentimental dengan kehadiran sensitiviti tulen pada perubahan watak dan jalan cerita pasca kematian Paul Walker.

Ini merupakan satu sekuel luarbiasa dalam gagasan francais yang mula muncul di pawagam sejak tahun 2001.

Ia memberikan kita lebih daripada apa yang kita harapkan. ‘Komitmen keluarga’ yang serius telah membuktikan bahawa ia mampu pergi lebih jauh melepasi naskah kelapan ini. Jika anda masih ingat dan menggemari naskah filem keempat, menyukai kelima dan menggemari keenam dan mengagumi ketujuh, edisi kali kelapan ini pasti akan diletakkan sebagai antara yang paling baik pernah dihasilkan.

Gila. Tidak masuk akal. Mencabar status quo.

Ini adalah ramuan serta resipi rahsia yang membuatkan filem ini masih ‘menjadi’ dan makin ‘menjadi-jadi’.

RATING: 4/5

Last modified: April 18, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *