WAWANCARA JEDA | Zid, Pelukis Komik Skull Island: The Birth of Kong (2017)

663

Written by:

Bermula semalam, Legendary telah melancarkan sebuah siri komik baharu dengan judul Skull Island: The Birth of Kong.

Isu pertama ini bertindak sebagai sekuel kepada filem Kong: Skull Island dan juga prekuel kepada sebuah lagi filem yang bakal menyusul selepasnya. Ia dipecahkan kepada dua era berbeza.

Satu pada tahun 2012. Satu pada tahun 1973.

Berikut adalah sinopsis rasmi komik tersebut:

“The story tells of a secret team of Monarch operatives returning to Skull Island to discover the truth behind Kong and the island he was born to protect. In doing so, they unlock an ancient history of monster conflict, witness the primal war between Kong and an otherworldly ecosystem of deadly new creatures, and finally reveal how this lonely god became the last of his kind. Featuring new monsters and previously unseen Skull Island locations, the book gives fans a chance to see how Kong has evolved since the events of the film.”

Komik yang bertindak sebagai pemangkin dan penyambung cerita kepada filem Skull Island itu telah ditulis oleh Arvid Nelson. Manakala ilustrasinya pula dihasilkan oleh seorang pelukis komik berbakat besar asal Malaysia bernama Zid atau nama penuh beliau, Mohammad Yazid Kamal Baharin.

Pada entri kali ini, kita berasa cukup bertuah kerana diberi peluang serta kesempatan untuk menemuramah beliau secara eksklusif demi menyelongkar kisah di belakang tabir pembikinan komik tersebut.

 


Boleh ceritakan bagaimana projek komik Skull Island: The Birth of Kong’ ini boleh terjadi dan bermula dengan anda?

Projek komik Skull Island: The Birth of Kong merupakan projek saya yang terbesar buat masa ini dan saya pun tidak sangka akan dipilih.

Kisahnya bermula dari penglibatan saya dalam siri komik Son of Merlin dari penerbit Top Cow serta Heroes and Villains Entertainment pada tahun 2012. Kemungkinan besar penulisnya, Robert Place Napton berminat dengan hasil kerja saya sejak dari itu. Kami tidak pernah berhubung sesama sendiri dan setelah selesai komik Son of Merlin, saya tidak mendengar apa-apa berita daripada mana-mana pihak.

Pada tahun yang berikutnya, saya dihubungi Robert. Beliau adalah penulis yang hebat dan dalam diam rupanya dia telah berhijrah ke Legendary Comics!

Walaupun karya saya ketika itu agak ‘biasa-biasa’ jika dibandingkan dengan sekarang, pada tahun 2013 saya telah dihubungi Robert. Rupanya dia telah mencalonkan nama saya sebagai salah satu artis pilihan untuk projek komik adaptasi antologi untuk filem reboot Godzilla yang berjudul Godzilla: Awakening. Malangnya projek itu telah diambil alih oleh sebuah agensi pengurusan bakat (talent agency) dan saya hanya sempat siapkan beberapa lakaran awal produksi (treatment test) untuk filem tersebut sahaja.

Setahun kemudian, Legendary dan Robert masih berminat untuk bekerjasama dengan saya untuk satu lagi adaptasi novel grafik antologi filem seram arahan Michael Dougherty, Trick ‘r Treat. Barangkali mereka berkenan dengan apa yang saya hasilkan. Lantas saya telah dilamar untuk novel grafik prekuel kepada Spectral, sebuah filem seram supernatural yang kini telah dibeli oleh Netflix iaitu Spectral: Ghosts of War. Cuma kali ini bukan lagi antologi tetapi secara solo.

Alhamdulillah setelah selesai projek tersebut, saya masih dilayan dengan baik dan diberi projek yang mustahil untuk ditolak: Komik prekuel dan juga sekuel kepada filem Kong: Skull Island.

 

Ini bukan projek komik pertama anda yang diadaptasi/diinspirasi dari sumber filem. Boleh kongsi pengalaman anda untuk projek-projek komik yang terdahulu?

Soalan ini agak umum. Jadi mungkin saya akan berkongsi pengalaman serta perbezaan yang dilalui untuk projek adaptasi berbanding dengan projek komik yang ‘standalone’ atau tidak bergantung dengan sumber media yang lain.

Walaupun proses penghasilan komik itu sendiri tidak dinafikan sangat rumit, komik yang penceritaannya tersendiri dan tidak terlibat dengan sumber lain adalah lebih mudah bagi cara kerja dan prosesnya. Sebarang masalah diselesaikan di dalam lingkungan dan perimeter skrip yang diberi. Pelukis hanya perlu menggambarkan apa yang telah ditulis dan prosesnya agak semulajadi. Perlu diingatkan bahawa perkataan “hanya” itu tidak boleh diambil ringan. Ia masih berat juga untuk sebuah tugas penggambaran dari skrip ke visual.

Untuk projek yang diadaptasi dari filem pula, ia lebih rumit di mana lukisan harus menyerupai pelakon dan watak di dalam filem yang diadaptasi. Lebih rumit jika lokasi, pemakaian, perwatakan dan banyak lagi perincian lain yang penting harus seiring dengan pembawakan di dalam filem.

Maka banyak lagi proses yang serba mencabar jika filem itu belum siap dan pelukis harus menunggu aset dari penerbit, pengarah atau studio itu sendiri.

 

Sebagai pelukis komik Malaysia yang telah mencipta nama di peringkat antarabangsa, apakah antara cabaran-cabaran besar yang perlu anda hadapi untuk sampai ke tahap ini?

Telah mencipta nama? Jauh sekali!

Sebenarnya saya tidaklah berapa dikenali di arena tempatan, apatah lagi di persada antarabangsa. Namun begitu, saya banyak mendapat sokongan dari kalangan kawan-kawan dan profesional seperjuangan lain dalam industri.

Pengalaman bekerja saya pun tidak begitu hebat. Tetapi menceritakan liku-liku kerja yang telah saya lalui di dalam dan luar negara, sejujurnya bekerja dengan orang asing jauh lebih mudah dan lancar. Yang penting cara kerja perlu professional. Berbeza dengan pengalaman di industri tempatan, sangat merunsingkan kepala. Sarat dengan politik, drama, tipu muslihat, hasad dengki dan paling kerap berlaku: MASALAH BAYARAN. Saya nak tegaskan bukan semua tapi kebanyakannya lebih banyak pahit dari manis. Mungkin bukan rezeki saya.

Jadi saya ambil langkah untuk kembali bekerja di luar. Bukan merajuk tetapi kita semua semakin tua. Dunia semakin mencabar, buat apa hendak susahkan diri?

Ambil jalan yang paling kurang menyakitkan jiwa.

 

Ada apa-apa projek terbaharu yang boleh anda kongsi dan dedahkan (atau hint) selepas komik ini?

Setakat ni saya masih sibuk menghasilkan Skull Island: The Birth of Kong. Saya belum ada berita untuk projek yang akan datang.

Mungkin ada, mungkin tidak.

Saya bekerja dengan ‘mindset’ bahawa setiap projek yang saya usahakan ketika itu adalah projek terakhir. Dan saya harus berikan lebih baik daripada yang terbaik. Jadi, jikalau saya sudah tidak diperlukan lagi, sekurang-kurangnya hasil kerja terakhir saya memberikan kesan yang signifikan.

 

Nasihat dan pesanan anda kepada bakat-bakat muda baharu yang mahu mengikuti jejak langkah anda sebagai pelukis/ilustrator komik sepenuh masa secara profesional.

Saya bukan contoh yang terbaik untuk memberi dan mendapatkan nasihat. Tetapi perkongsian saya ini mungkin sedikit sebanyak boleh dimanfaatkan untuk kebaikan semua pihak.

Seperti yang saya katakan, sikap bekerja secara profesional amat ‘parah’ di kalangan pelapis kita. Jika kita janji (A), wajarlah kita berikan (A). Seandainya wujud masalah, maklumkan dengan awal supaya ada pelan kecemasan dan tidak menyusahkan orang lain pada saat-saat akhir.

Sebab kita bukan bekerja seorang. Ada bahagian yang lain dalam jentera kerja yang lebih besar.

Tiada jalan singkat untuk berjaya.

Untuk bertahan dalam kerjaya pula lain ceritanya. Banyak pengorbanan yang akan dilalui untuk meneruskan perjalanan kerjaya yang sunyi ini (tidak seperti untuk studio penerbitan). Sudah lebih sedekad saya melukis komik secara profesional dalam dan luar negara. Dan saya masih ‘nobody’. Tapi tidak mengapa.

Janji saya berpuas hati dngan hasil kerja walaupun belum pernah betul-betul cukup puas hati lagi sehingga dapat bayar bil bulanan dan bagi keluarga saya kenyang!

Popular atau tidak itu di luar kawalan saya.

Lagipun kalau kita selalu fikirkan isu populariti, satu kerja pun tidak akan jalan.

Last modified: April 13, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *