Review | GHOST IN THE SHELL (2017)

390

Written by:

FilemKomikMangaSemasa

Hollywood masih lagi berjiwa old-school.

Sepertimana yang pernah dilakukan oleh filem Blade Runner (1982), naskah filem fiksyen sains thriller neo-cyberpunk yang berasal dari manga seinen Ghost in the Shell tampak lebih bergaya seiring arus semasa dan lebih relevan tentang isu futuristik seperti sinergi hubungan manusia dan robot.

Atau dengan kata ringkas: Lebih serba-serbi seksi.

Adaptasi yang lahir dari idea cipta Masamune Shirow ini hadir daripada kesedaran seorang manusia dalam jasad sekujur robot wanita. Dilakonkan oleh bintang ternama Scarlett Johansson (Avengers: Infinity War, Lucy, Don Jon), watak Mejar Mira Killian secara fizikalnya cuma sebuah robot canggih yang sempurna.

Sempurna semuanya kecuali fungsi serebral neuro minda, kecelaruan roh serta keadaan asal manusia yang telah disenyawakan ke dalam tubuh sebuah cyborg.

Tugas khusus beliau sebagai aset paling berharga buat Hanka Corporation telah mengaktifkan seorang agen efektif dalam membanteras sel-sel kumpulan ‘pengganas’: Satu terma yang digunakan untuk melabel sesiapa sahaja yang dianggap ancaman merbahaya kepada syarikat tersebut dengan apa tujuan sekalipun. Baik mahupun sebaliknya.

Kadangkala disapa dengan gelaran “The Major” dan kadangkala dengan nama “Mira” (nama asal manga/anime: Mejar Motoko Kusanagi), beliau merupakan agen misi khas dalam dunia yang diperkaya dengan unsur distopia dari banyak sumber serta rujukan filem-filem cyberpunk yang pernah wujud sebelum ini. Dilihat dengan lebih teliti, watak utama yang pernah ditayangkan dalam versi filem animasi/anime 1995 arahan Mamoru Oshii ini tidak 100% dilihat berbangsa atau miliki sahsiah orang Jepun. Dan ini sama seperti pembawakan oleh Scarlett Johansson.

Perbezaan luarbiasa yang ketara di antara kemampuan berfikir dan bertindak “The Major”/”Mira” tidak setara dengan riak wajahnya yang terlalu tenang dan dingin. Dan ini sebenarnya pernah dipamerkan menerusi lakonan pelakon itu dalam filem arahan Jonathan Glazer berjudul Under the Skin (2013).

Di sini, beliau tampil sebagai kedua-duanya.

Roh (Ghost). Dan Jasad (Shell).

Sepasang mata yang menusuk jiwa dan emosi, sarat dengan memori dan kecelaruan, terperangkap di dalam tubuh yang terlalu memukau dan mempesona.

Garapan pengarah Rupert Sanders yang meledakkan aksi-aksi dan lagak ngeri super komersial telah merencana segala kompleksiti senario risikan dan rahsia siber yang wujud dalam dunia masa depan filem ini. Dibandingkan dengan trilogi The Matrix (1999-2003) yang dirasakan terlalu melampau dan ‘melebih-lebih’, sekuen dari babak ke babak dituruti penuh displin. Seorang gadis Geisha dengan sintetik labah-labah berkaki robotik dalam mod menyerang dan sekumpulan pembunuh upahan bertopeng yang cukup efisien merupakan dua contoh kecemerlangan penggunaan efek khas oleh pengarah filem ini.

Ada beberapa babak persis anime asalnya dengan susunan set yang mengagumkan dan pelakon yang miliki memahiran koreografi luarbiasa.

Buat Scarlett Johansson, ada kemungkinan binaan sebuah francais akan berlaku.

Sama seperti sukses besar untuk francais John Wick atau Jason Bourne. Namun sebelum itu semua dapat direalisasikan, penonton dan peminat perlu meraikan dan menyokong filem ini serta menyambutnya secara lebih bergema dan berlapang dada biarpun ia sebuah karya adaptasi sebuah komik/manga Jepun.

Dan tidak banyak sebenarnya naskah-naskah asal negara matahari terbit itu yang dapat diterjemahkan dengan baik dab bagus oleh Hollywood sejak tempoh hampir tiga dekad yang lalu.

RATING: 4/5

Last modified: April 3, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *