Penampilan Watak Gay, BEAUTY AND THE BEAST Bakal Diharamkan di Malaysia?

312

Written by:

Tayangan perdana untuk filem Beauty and the Beast minggu ini nampaknya sah ditunda.

Menurut sumber yang diperolehi dari The Star Online, filem tersebut telah mencetuskan kontroversi dan kerunsingan apabila terdapat peranan lelaki berperwatakan homoseksual bernama LeFou lakonan Josh Gad (Frozen, The Angry Birds Movie, Pixels).

Tarikh tayangan filem terbitan Disney Pictures itu telah dirancang untuk slot 16 Mac, 2017.

Tetapi ianya ditunda secara serta-merta untuk tindakan susulan dan “rebiu dalaman” menurut satu sumber oleh The Walt Disney Co. (Malaysia) Sdn. Bhd. menerusi satu kiriman e-mel. Tiada alasan atau kenyataan rasmi lanjut yang diberikan bagi penundaan tersebut.

Malah, tiada juga pengumuman tarikh baharu diwartakan.

Jurucakap rasmi agen pengedar filem enggan memberikan komen lanjut apabila dihubungi hari ini.

Semasa menulis entri ini, filem bikin semula (remake) asal animasi filem tahun 1991 itu telah diturunkan dari senarai tayangan di semua rangkaian pawagam utama seluruh Malaysia.

Dibintangi oleh Emma Watson sebagai Belle, Dan Stevens sebagai Beast dan Luke Evans sebagai Gaston, Beauty And The Beast suatu masa dulu pernah memecah rekod sebagai filem animasi pertama yang dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik untuk Anugerah Academy 1991.

Terdahulu, filem ini mula meraih kontroversi di atas apabila pengarah Bill Condon lebih awal mengesahkan watak LeFou sebagai gay menerusi wawancara eksklusif bersama majalah terbitan United Kingdom, Attitude.

Ini lantas mengakibatkan kerajaan Rusia bertindak melarang kanak-kanak berusia 16 tahun untuk menontonnya di pawagam. Di Amerika Syarikat pula, sebuah pawagam pandu-parkir (drive-in cinema) turut mengharamkan tayangan filem tersebut.

Last modified: March 13, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *