Review | KONG: SKULL ISLAND (2017)

469

Written by:

Di Hollywood barangsiapa yang besar dan gagah, dia kekal berkuasa dan abadi selama-lamanya.

Setelah sekian lama terperam, si monyet/beruk/gorilla gergasi paling popular di dalam sejarah sinematik seantero dunia telah sekali lagi diberikan nafas baharu serta dikuasakan semula dalam Kong: Skull Island.

Maka berdentam-dentumlah bunyi kuat yang melibatkan mesingan, senapang, pistol, raksasa dan bermacam bagai lagi elemen yang membuatkan sebuah filem King Kong itu diingati. Pada masa lalu, pertemuan cliché biasanya akan berlaku apabila King Kong bertemu dengan seorang gadis/wanita berambut blonde secara tidak sengaja. Pertemuan ini juga akan berlanjutan kepada babak-babak biasa yang pernah kita lihat dalam King Kong versi tahun 1933, 1976 dan 2005.

Filem tentang si cantik jelita yang menjadi punca kelemahan si kuat bernama Kong itu tadi. Dan cerita tersebut dikisahkan berulang kali sepanjang tempoh ia mula diperkenal hampir 84 tahun nan lalu.

Pada tahun 1933, keayuan Fay Wray telah menyebabkan King Kong rebah di puncak bangunan Empire State dengan hentaman peluru dari jet pejuang Perang Dunia Pertama. Pada tahun 1976, hubungan yang serba rumit antara keseksian Jessica Lange dan King Kong juga berakhir sadis dan sedih. Pada tahun 2005, Naomi Watts hadir mengalirkan air mata buat King Kong kerana ‘cinta’ yang tidak kesampaian.

Namun dalam filem terbaharu ini, King Kong tampil dengan wajah dan sahsiah rupadiri terkini dan seorang bakal kekasih baharu bernama Mason Weaver lakonan Brie Larson. Bezanya cuma teraju utama wanita tersebut tampak lebih berani dan sedikit agresif. Dan sudah pasti lebih berpakaian sopan dan ‘senonoh’.

Seorang jurugambar anti-perang yang bukan sekadar hanya pandai ‘menembak’ foto tetapi juga menembak senjata api. Pendek kata, hubungan sesama watak ini lebih empatik dari romantik.

Skull Island sedikit-sebanyak membangkitkan semula kepada jalan cerita klasik versi 1933. Cuma pada kali ini, pengembaraan meneroka pulau misteri itu telah disertai oleh sekumpulan saintis kerajaan di bawah seliaan Bill Randa (John Goodman) yang tidak putus asa menjejak lokasi pulau itu serta belum pernah dilihat oleh mata manusia. Beliau diiringi oleh pasukan tentera khas yang diketuai Leftenan Kolonel Preston Packard (Samuel L. Jackson) dan juga seorang pakar penjejak belantara serta bekas anggota unit SAS, Kapten James Conrad (Tom Hiddleston).

Pengarah baharu iaitu Jordan Vogt-Roberts menyuntik elemen-elemen suram dan serius sejak permulaan cerita ini yang berlatarbelakangkan era pasca Perang Vietnam tahun 1973. Lebih unik, majoriti filem ini juga menjalani penggambaran prinsipal di hutan tebal Vietnam. Skrip pula dihasilkan oleh tiga orang penulis berbakat besar yang terdiri dari Dan Gilroy, Max Borenstein dan Derek Connolly.

Untuk peminat serta penggemar setia filem-filem klasik dan retro Hollywood, pasti banyak babak-babak yang wujud dalam filem ini akan mengingatkan kita pada beberapa di antaranya. Paling ketara sudah tentu filem Apocalypse Now (1979) yang juga secara sengaja telah menghasilkan satu poster filem edisi khas IMAX dengan tona dan tema filem klasik arahan Francis Ford Coppola itu.

Oh. Bercakap tentang Apocalypse Now, terdapat satu watak lakonan Dennis Hopper dalam filem itu dulu yang seolah-olah ditiru oleh John C. Reilly dalam pembawakan watak Leftenan Hank Marlow.

Gila-gila, lucu tetapi penuh dengan kesan psikologi mendalam.

Biarpun kelihatan usaha-usaha yang dilakukan untuk lari daripada stereotaip sebuah filem King Kong, masih ada tersisa satu-dua plot yang terpaksa jua menuruti jalan cerita lama. Sentimen perang. Perbalahahan pendapat dan ideologi politik, kesan psikologi dan sebagainya. Hanya perbezaan ketara di sini yang dapat kita saksikan adalah watak King Kong itu sendiri. Digambarkan sebagai masih muda dan remaja selepas kehilangan kedua orang tuanya, versi kali ini ternyata lebih bertenaga dan kemahiran bertempurnya jauh lebih dinamik dan hebat.

Lebih menarik, tiada penekanan emosi cinta antara pelindung pulau itu dengan watak Mason Weaver, selaku teraju wanita utama dalam Kong: Skull Island.

Filem ini mantap kerana ada momentum kemas dari awal hingga akhir cerita. Tentangan yang dihadapi King Kong juga berbeza dengan seterunya yang tedahulu. Kredit harus diberikan kepada unit kesan digital khas (SFX) yang mempersembahkan kualiti terbaik yang membuatkan penonton kekaguman dari satu babak ke satu babak.

Namun begitu, gambaran lebih besar untuk keseluruhan jalan cerita filem ini masih lagi samar dan sengaja tidak disimpulkan sehinggalah kredit babak akhir ditayangkan.

Lain-lain perkara yang perlu diperkatakan adalah saiz terkini King Kong yang lebih besar dan agam. Sebesar dan setinggi gunung-ganag yang ada di pulau kediamannya itu. Sebagai sebuah blockbuster kontemporari era mileneum, ini telah menjadi seolah-olah satu kewajipan. Tambah lagi ada pembayang bahawa francais ini berlanjutan kepada sekuel-sekuel yang seterusnya dan bakal berhadapan dengan seekor lagi raksasa/makhluk gergasi dari sebuah francais filem yang sama klasik dan sama epik.

Bukan lagi satu spoiler, King Kong dirancang untuk berhadapan Godzilla dalam filem Godzilla vs. Kong untuk tayangan 29 Mei, 2020.

Seumpana Semesta Sinematik Marvel dan DC Comics, Legendary Pictures serta Warner Bros. merangka pelan ekosistem yang sama untuk membentuk dunia Sinematik Spesis Raksasa Super dalam lingkungan Projek Monarch yang terdahulu hadir menerusi filem Godzilla (2014). Ini pasti mendatangkan berahi dan keterujaan sejak pengumumannya rasminya dua tahun yang lalu.

Jika kita tolak-tambah kesan kosmetik digital, aksi-aksi spektakular dan pemilihan nama-nama besar yang pernah dan akan muncul dalam Semesta Sinematik Marvel (Tom Hiddleston, Brie Larson, Samuel L. Jackson dan John C. Reilly) dalam Kong: Skull Island ini, tidak keterlaluan jika kami labelkan filem ini sebagai filem King Kong terbaik pernah dihasilkan oleh Hollywood setakat ini sejak 1933.

RATING: 4/5

 

Last modified: March 11, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *