Review | THE LEGO BATMAN MOVIE (2017)

273

Written by:

Sekiranya ada yang obses dengan kemunculan Batman versi LEGO sejak penampilan sulungnya menerusi filem The LEGO Movie (2014), pastinya anda akan lebih teruja dengan kehadiran filem The LEGO Batman Movie ini.

Maka, hari yang dinanti-nantikan itu pun telah tiba.

Dan ia langsung tidak menghampakan!

Sangat menghiburkan dari mula hingga habis tayangan di layar skrin pawagam, filem di bawah arahan Chris McKay ini hadir dengan sesuatu yang luarbiasa. Ianya sarat dengan jenaka tanpa henti dan padat dengan babak-babak yang menciut hati buat tontonan semua lapisan usia.

Jelas sekali filem ini dihasilkan untuk peminat serta pengikut setia Batman dan LEGO. Premis ceritanya amat kaya dan banyak elemen-elemen yang diambil dari pelbagai sumber komik, siri animasi dan televisyen, filem dan banyak lagi. Kandungan yang terlelar juga menghadirkan plot amat berkesan untuk penonton yang tidak berapa mengenali dunia atau sejarah Batman. Tiada batasan dan tiada had penceritaan yang tidak disentuh. Unsur satira dan garapan dari semua era Batman dari siri televisyen Batman (1966) sehingga Batman v Superman: Dawn of Justice (2016) sehinggalah kepada pilihan kostum yang terlampau pelbagai itu.

Berikut adalah review Top 10 untuk filem The LEGO Batman Movie untuk tatapan anda!

 

10. Joker Terlalu Dahagakan Perhatian Batman

Seluruh peminat tegar Batman pasti tahu akan hubungan pelindung kota Gotham itu dengan musuh abadinya, Joker (contoh yang paling tepat sekali adalah menerusi filem The Dark Knight (2008) dan naskah komik tulisan Alan Moores, The Killing Joke).

The Lego Batman Movie nampaknya telah mengambil hubungan bersifat simbiotik itu dan menolaknya lebih jauh dengan dilema dan konflik yang terpaksa ditanggung oleh mereka berdua selama ini. Ini jelas terlihat apabila Batman sendiri telah mendedahkan bahawa Joker bukanlah seteru utama dalam hidupnya dan hanya berhadapan tanpa ada usaha yang maksimum.

Ini membuatkan Joker berasa tersinggung dan memotivasikan dirinya untuk melakukan sesuatu yang jauh lebih ekstrem dan menjadi punca cerita ini bergerak sehingga ke penghujung.

 

9. Koleksi Jentera dan Kenderaan Batman yang Gila B***!

Ini merupakan satu paparan portfolio jentera dan koleksi kenderaan dalam simpanan Batman sejak dari dulu, kini dan selamanya. Apabila Dick Grayson/Robin menjumpai Batcave secara tidak sengaja (tetapi sebenarnya sengaja dengan bantuan Alfred), barisan kenderaan selain BatMobile dan BatWing diperlihatkan termasuk BatSub, BatZeppelin sehingga ke BatKayak(?!)

 

8. Sepi Seorang Batman

Keinginan dan kehendak Batman sebagai seorang individu yang tidak suka berseronok telah mendatangkan kesan mendalam terhadap dirinya sendiri selama ini. Semuanya dapat dilihat apabila beliau pulang ke rumah (BatCave/Wayne Manor) dari selesai melawan dan menahan penjenayah. Makan bersendirian. Menonton filem bersendirian. Malah lagu dendangan Harry Nilsson berjudul “One Is The Loneliest Number” yang bermain di latar babak mendatangkan kesan yang lebih dramatik tetapi melucukan.

 

7. Kemunculan Hampir SEMUA Penjahat Batman dari A sampai Z!

Ya. Ini bukan main-main hampir kesemua watak-watak penjahat Batman yang dikenali seperti Joker, Harley Quinn, Penguin, Catwoman, Poison Ivy, Two-Face, Riddler, Scarecrow dan Bane sehinggalah yang jarang sekali (atau tidak pernah) kita dengar seperti Crazy Quilt, Eraser, Polka-Dot Man, Tarantula, King Tut, Orca, Killer Moth, Zodiac Master, Gentleman Ghost, Clock King, Calendar Man, Zebra Man dan Condiment King.

Itu belum dihitung lagi kemunculan khas penjahat-penjahat dari francais filem lain seperti Lord of the Rings, Harry Potter dan Wizard of Oz!

 

6. Robin. Masih Menjengkelkan. Tetap Menjengkelkan.

Setelah ratusan malah ribuan judul-judul komik termasuk siri televisyen, animasi dan filem Batman yang pernah dihasilkan oleh DC Comics, banyak yang telah berlaku dalam sejarah evolusinya. Filem ini juga tidak terkecuali. Bruce Wayne secara tidak sedar telah mengambil Dick Grayson/Robin sebagai anak angkat dan menyesal tidak sudah seolah-olaj merasai apa yang peminat rasai selama ini.

Menjengkelkan sekali sehingga pernah suatu ketika dulu, peminat telah mengundi untuk ‘membunuh’ watak Robin buat selama-lamanya dari penerbitan menerusi ‘A Death in the Family’ (1988-1989).

 

5. Robin. Seorang Watak Adiwira yang (juga) Rela Dibenci.

Begitu sarat dengan semangat dan iltizam (dan juga minat yang kostum berwarna-warni serta berseluar pendek), versi Robin untuk The Lego Batman Movie ini nampaknya sengaja dibiarkan ‘bebas’ melakukan apa saja. Dan kewujudan Robin dalam hidup Batman memang semata-mata menjengkelkan beliau siang dan malam. Tambah lagi jika adiwira itu sangat memiliki sifat yang berbeza kontradiksi dengan sidekick dengan seragam berwarna merah, hijau dan kuning itu.

 

4. Variasi Kostum Batman Tahap Infiniti!

Ya. Dalam filem ini, kostum dan seragam sebenarnya adalah asal daripada seragam milik Batman dengan label “Reggae-Man”. Dan bukan setakat itu, kita juga boleh melihat barisan bermacam-macam jenis aneka fesyen kostum Batman dari Com-Bat (seragam untuk Batman pergi berperang?) sehinggalah ke kostum klasik-retro Batman dari siri televisyen 1966.

3. Perli Filem ‘Batman v Superman: Dawn of Justice’?

Semasa satu adegan pertelingkahan dengan Joker, Batman menyatakan bahawa Superman adalah “musuh terhebat” pernah dihadapinya sebelum babak imbauan lampau memaparkan batman dan Superman yang sama dan serupa sepertimana dalam filem Batman V Superman: Dawn Of JusticeBezanya hanya cuma ia telah di-LEGO-kan.

 

2. Kehebatan Bruce Wayne dan Batman Yang Tiada Tolok Bandingannya!

Dalam semua filem-filem atau komik-komik Batman yang mana Bruce Wayne telah menghabiskan banyak masa menyeimbangkan hidup di antara usahawan bilionair dan adiwira kota Gotham, ia tidaklah semudah yang kita sangkakan. Dalam filem ini, kita dalam lihat bagaimana dengan mudah beliau bertukar identiti di antara keduanya dengan begitu mudah sambil duduk di dalam kereta limosin menuju ke majlis persaraan Pesuruhjaya Gordon.

Ini mungkin sesuatu yang mungkin tidak dapat kita lihat dalam mana-mana format lain dalam kisah pengembaraan Batman.

 

1. Filem ‘The LEGO Batman Movie’ lagi Best dari Filem ‘The LEGO Movie!

Betul. Mungkin kenyataan ini agak keterlampauan tetapi ada banyak elemen dan plot penceritaan serta mutu persembahan yang diberikan dalam filem ini lebih baik berbanding The Lego Movie. Watak-wataknya jauh lebih menghiburkan, jenaka-jenakanya saling tidak putus henti dan tahap produksi dalam penghasilan filem Batman daalam versi Lego harus diberi pujian yang tinggi. Tidak sabar rasanya mahu tunggu sekuelnya jika ada!

The Lego Batman Movie kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 9 Februauri, 2017.

RATING: 5/5

Last modified: February 9, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *