Review | JOURNEY TO THE WEST: THE DEMONS STRIKES BACK (2017)

541

Written by:

BukuFilemSemasa

Untuk filem istimewa sempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini, Journey to the West: The Demons Strike Back yang diterbit dan ditulis oleh Stephen Chow serta diarahkan oleh Tsui Hark telah dijadikan taruhan.

Sebuah epik teaterikal klasik yang berulang-kali diberikan versi dan nafas-nafas berbeza, naskah ini memang hadir dengan efek komikal (sudah tentu) di bawah gandingan kedua sutradara tersebut. Stephen Chow dengan sengaja memilih Tsui Hark untuk menerajui penghasilan francais filem Raja Monyet terbaharu ini demi memberikan kelainan sekiranya ada yang mahu membandingkan dengan naskah lakonan beliau yang sebelumnya, A Chinese Odyssey: Pandora’s Box dan A Chinese Odyssey: Cinderella (1995).

Filem ini merupakan sekuel kepada Journey to the West: Conquering the Demons (2013) dan tampil dengan pendekatan yang lebih berdaya cerita dan kesan-kesan khas yang amat hebat. Semuanya terima kasih kepada Tsui Hark kerana memilki pengalaman panjang dalam produksi filem berbajet besar serta bertaraf blockbuster. Lanjut dari itu, elemen-elemen di atas juga sedikit-sebanyak menyelamatkan filem ini dari terjerumus dan membenam ke dalam jurang cliché dek kerana naratif dialog tulisan Stephen Chow yang amat senang diramal.

Setelah puluhan filem klasik beliau yang jauh lebih menghiburkan termasuk babak-babak humor yang berulangan dan wakta-watak yang mudah dan kurang mencabar, memang ternampak perbezaannya di situ.

Dan seperti kebanyakan kedua atau sekuel filem dalam sesebuah francais, kesudahahan cerita yang ditonton akan ‘tergantung’ begitu sahaja.

Sebagai contoh: Bayangkan mana-mana filem Pirates of the Caribbean atau Transformers.

Naskah terbaharu dalam francais Stephen Chow ini hanya padat dengan babak-babak besar dan hebat tetapi masih kekurangan isi dan penceritaan tulen. Ya, memang ramai peminat dan pengikut beliau akan ‘menelan’ dan ‘menelan’ terus apa sahaja yang punya tanda nama Stephen Chow atau Chow Sing-Chi. Tetapi dengan jenama komedi dan humor besar sebesar Stephen Chow Sing-Chi, para penerbit dan studio perlu berusaha ke hadapan walau dengan apa cara sekalipun. Dan ini sedikit sebanyak terlihat pada hasil tulisan Raja Komedi Hong Kong itu apabila tiada apa-apa yang baharu dapat dilihat sejak kejayaan gemilang beliau sejak pertama kali muncul di layar pawagam pada 1982.

Dengan bajet yang jauh lebih banyak dan berganda (USD$63.9 juta), pelakon-pelakon filem yang terdahulu juga digantikan dengan wajah baharu serta bakat muda seperti Wen Zhang dan Huang Bo yang digantikan dengan bintang pop Kris Wu, Kenny Lin dan Jelly Lin.

Journey to the West: The Demons Strike Back masih tetap menghiburkan secara keseluruhan. Terutama sekali untuk tontonan musim perayaan seperti Tahun Baru Cina. Bezanya cuma adalah jumlah ketawa yang kedengaran di dalam pawagam tidak lagi sama sepertimana yang penulis pernag alami ketika menonton Shaolin Soccer (2001) atau Kung Fu Hustle (2004) sebelum ini. Rekod kutipan tetap akan dipecahkan sepertimana The Mermaid pada tahun lalu. Kerana itu adalah sentuhan emas yang masih belum ada galang-gantinya sehingga kini biarpun tanpa kehadiran bekas teman seperjuangan beliau, Ng Man-Tat/Uncle Tat.

Ibaratkan juga filem ini umpama karya-karya besar roman tulisan Jane Austen atau biografi kisah hidup Abraham Lincoln yang telah di-‘Hollywood’-kan lantas menjadi filem pontianak (vampire) atau zombi. Stephen Chow dan Tsui Hark telah melakukan perkara yang sama terhadap naskah manuskrip epik lama berusia 500 tahun itu dan menjadikannya lebih mirip kepada konsep filem Ghostbusters pada era moden ini.

Filem ini mengisahkan dengan seorang sami bernama Tang Sanzang (Kris Wu) yang daif serta papa kedana dan hanya hidup dengan bantuan dua orang pengikut/anak muridnya iaitu Raja Monyet/Sun Wukong (Lin Gengxin), Si Khinzir/Zhu Bajie (Yang Yiwei) dan Sandy/Shā Wùjìng (bekas pemain bola keranjang NBA, Menteke Bateer). Bermula dengan pembuat persembahan sarkis yang hanya mendatangkan malang dari keuntungan sehingga terus diseru kembali untuk berhadapan jelmaan-jelmaan dahsyat iblis yang pelbagai bentuk dan ragam.

Dengan premis cerita yang sederhana dan jenaka yang hanya ‘dipanaskan semula’ untuk santapan penonton setia seperti penulis, mungkin Stephen Chow berharap pada generasi baharu yang kurang peka dan belum pernah tahu akan punchline dan slapstick “mo lei tau” klasik beliau pada era 1990an dulu. Mujur ada Tsui Hark yang memberikan sedikit perencah dan perasa kepada pengalaman tontonan untuk peminat lama beliau yang pasti masih mahu menunggu dan menanti apakah projek-projek beliau yang mendatang.

RATING: 3/5

Last modified: February 6, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *