Review | RIVERDALE, Episod 1 Musim Pertama (2017)

331

Written by:

KomikSemasaTV

Riverdale merupakan sebuah siri televisyen noir remaja terbitan CW yang unik serta anti-ortodoks dan jelas sekali adaptasi dari francais komik Archie.

Komik yang pernah kita baca dan kenal mungkin mengalami beberapa reimaginasi dan pembaharuan semula sejak sedekad yang lalu. Malah lebih radikal daripada itu, watak utama Archie Andrew pernah ‘dimatikan’ tidak berapa lama dahulu. Untuk versi yang lebih pelik, beliau dan teman-teman karibnya pernah berhadapan dengan serangan zombi dan salah seorang daripada zombi itu adalah Jughead Jones.

Macam-macam boleh jadi apabila sejarah penerbitan komik itu telah mencecah usia 75 tahun.

Koleksi Archie Comics klasik.

Siri Archie Comics moden.

Untuk Riverdale versi moden dan kontemporari moden ini, ia memberikan kita sesuatu yang semestinya lain daripada yang lain. Lain dalam erti kata lebih baharu daripada baharu dan lebih berani daripada yang sebelumnya. Salah seorang daripada penerbit siri televisyen ini adalah Roberto Aguirre-Sacasa: Ketua Pegawai Kreatif (CCO) dan penulis untuk Archie Comics. Ia telah membunuh semua cliché yang ada untuk nafas yang lebih segar, diadun dengan segala macam drama remaja berdekad lama yang pernah kita tonton selama ini. Dan memeranjatkan juga, ia tampak menjadi dan amat menarik.

Hampir semua watak-watak utama yang kita kenali muncul dalam Riverdale.

Bezanya cuma kali ini, pekan Riverdale mungkin menyelindung dan menyembunyikan rahsia, misteri dan korupsi kehidupan yang belum pernah terlihat pun sepanjang riwayat komik itu wujud sejak 1939.

Dengan judul “Chapter One: The River’s Edge”, ia seolah-olah mencabar status quo yang disenangi Archie dan semua kenalannya di Riverdale. Sejak adaptasi telefilem aksi hidup pertama Archie: To Riverdale and Back Again (1990) dan beberapa inkarnasi yang lainnya, Riverdale wajar diberi perhatian yang lebih serius selepas ini kerana jalan cerita yang tidak disangka-sangkakan.

Dengan material misteri pembunuhan dan pendekatan sisi gelap yang lebih dewasa (untuk remaja), episod pengenalan ini keras menggarap elemen-elemen noir dalam segenap tekstur penceritaanya. Ia diselang-selikan dengan unsur penceritaan dan perwatakan yang lazim kita baca menerusi komiknya tetapi dengan suntikan lebih moden dan kontemporari. Dan untuk tarikan yang lebih ‘sesuatu’, kita juga punya seorang watak popular dari siri Stranger Things (2016) dan seorang watak dari siri TV hit 90an, Beverly Hills 90210.

Sebagai set-up dan pemanas cerita, ia banyak mengingatkan kita pada filem Mommie Dearest (1981) dan perlahan-lahankan membentuk imejan-imejan dari siri mini televisyen Twin Peaks (1990).

Ini bukti betapa serius siri televisyen ini berbanding siri komiknya.

Dan apa yang ingin diperkatakan di sini adalah Riverdale tidak terasa seperti spin-off sebuah francais ataupun penjenamaa semula. Tetapi lebih kepada sebuah reboot yang perlu. Mereka perlu relevan dengan situasi semasa 2017. Bukan 1939. Bukan 1967. Bukan 1990.

Dengan sekiranya dapat digambarkan keseluruhan episod pertama ini dalam satu perkataan, kami dapat nyatakan dengan berani perkataan itu adalah ‘seksi’.

Oleh itu, adakah siri baharu ini bagus dan wajar diberikan perhatian untuk episod-episod yang seterusnya?

Jawapan: Ya.

Peminat, pembaca dan penggemar komik (bukan sahaja Archie) perlu tonton Riverdale setiap minggu. Julat setiap watak dan perwatakan yang dipersembahkan sunggun dinamik. Jalan cerita permulaan mengenakan umpan yang ‘sedap’. Sekali-sekala bijak. Kadangkala sarkastik. 100% nafas baharu untuk mana-mana adaptasi komik yang belum pernah kita lihat sebelum ini.

Penerbit: Roberto Aguirre-Sacasa (based on the Archie Comics characters)
Pelakon: KJ Apa, Lili Reinhart, Camila Mendes, Cole Sprouse, Ashleigh Murray, Mädchen Amick, Marisol Nichols, Madelaine Petsch
Siaran: Setiap Khamis (bermula 26 Januari, 2017) menerusi saluran The CW
Format: Drama 1 jam

RATING: 4/5

Last modified: January 29, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *