Review | XXX: RETURN OF XANDER CAGE (2017)

528

Written by:

Percaya atau tidak, Vin Diesel adalah ibarat Chuck Norris era hipster zaman ini.

Atlet suka ekstrem dan agen perisik hebat Xander Cage kembali lagi setelah lebih sedekad ‘meninggalkan dunia’ yang kini lebih memerlukan kepakaran dan kehebatannya sejak filem pertama xXx pada tahun 2002 itu.

Semuanya bermula dengan kemunculan seorang bekas agen perisik bernama Xiang dan rakan sepasukannya yang taat setia merampas sebuah objek dengan kod nama “Pandora’s Box”. Ia merupakan sebuah senjata sofistikated yang canggih lagi merbahaya serta memiliki kemampuan mengawal semua satelit militari sedunia.

Dengan fkemunculan menerusi filem arahan D.J Caruso (I Am Number Four, Eagle Eye) ini, Vin Diesel kini telah beraksi dalam tiga buah filem francais berbajet besar Hollywood: Fast & Furious sebagai Dominic Toretto (Terkini: 8 buah filem, 2 buah filem tanpa beliau), Riddick sebagai Richard B. Riddick (Terkini: 4 buah filem, 1 filem animasi dan 1 lagi sedang dalam fasa pra-produksi) dan selepas 15 tahun menghilang, hadir kembali dalam filem ketiga xXx (sekuel terdahulu digantikan seketika dengan teraju utama Ice Cube dalam xXx: State Of The Union).

Jelas sekali Vin Diesel tidak gentar untuk ‘memplagiat’ dan mengulang semula gaya persembahan ala Toretto dalam filem ini.

Selain daripada tatu, hanya ada satu perbezaan ketara di antara keduanya. Watak Toretto menitik beratkan perihal keluarga dalam semua keputusan dan tindakan. Manakala watak Xander Cage hanya setia pada dirinya sendiri dan kadangkala kepada Agen NSA yang sempoi bernama Augustus Eugene Gibbons lakonan Samuel L. Jackson (The Avengers, The Hateful Eight). Dalam edisi kali ini, beliau dengan seberapa segera dapat merekrut pasukannya sendiri setelah sekian lama beraksi sendirian, memalsukan kematian dan memencilkan diri dari dunia luar selama lebih satu setengan dekad.

Akan tetapi, kemunculan semula pratogonis ini bersama dengan seteru yang dibarisi bintang popular dari tanah Asia seperti Donnie Yen (Rogue One: A Star Wars Story, trilogi Ip Man), Tony Jaa (Tom Yum Goong, trilogi Ong Bak) dan Deepika Padukone (Bajirao Mastani, Chennai Express) telah memberikan impak besar dan daya tarikan yang lain berbeza kepada penonton. Walaupun ada di antara penonton tidak pernah mengikuti naskah pertama atau kedua dalam francais ini, jutaan pengikut setiap seorang daripada bintang-bintang ternama di atas yang berasal dari China, Thailand, India serta serata dunia sahaja sudah membuatkan filem ini berdiri sebagai prospek box-office dengan sendiri.

Lebih istimewa dan mengejutkan, dua (tiga) cameo yang tidak disangka-sangka hadir untuk menggamatkan lagi suasana panggung dan pengalaman tontonan. Antara tiga cameo itu, kami hanya boleh dedahkan nama Neymar Jr. sahaja memandangkan beliau sudah awal-awal terpampang pada poster dan treler teaterikal filem.

Apa pun begitu, kami dapat rasakan bahawa ini semua adalah merupakan satu ‘set-up’ untuk sekuel-sekuel yang selanjutnya (sepertimana francais filem Vin Diesel yang lain) pasca trilogi xXx. Biarpun masih mendapat ulasan-ulasan tajam daripada pengkritik filem, ia tetap gula-gula yang membuatkan kita rasa perlu untuk aneka perasa serta perisa di skrin pawagam.

RATING: 3/5

xXx: Return of Xander Cage kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh dunia.

Last modified: January 23, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *