Peter Dinklage Ditawarkan Watak Misteri dalam AVENGERS: INFINITY WAR!

191

Written by:

FilemKomikSemasaTV

Ini satu lagi berita gempar dari Semesta Sinematik Marvel.

Berdasarkan sumber yang kami perolehi dari Variety, bintang utama Game of Thrones dan pemenang Anugerah Golden Globe, Peter Dinklage yang cukup terkenal dengan watak Tyrion Lannister kini sedang dalam “fasa perbincangan awal” untuk muncul memegang satu watak penting dalam filem Avengers: Infinity War terbitan Marvel Studios .

Sehingga laporan berita ini diterbitkan, masih belum ada kenyataan rasmi tentang watak atau peranan yang bakal ditawarkan itu.

Tetapi ramai peminat telah pun membuat ramalan popular bahawa watak tersebut adalah Uatu the Watcher.

Produksi untuk musim ketujuh Games of Thrones telah selesai baru-baru ini dan ini secara tidak langsung mengizinkan Peter Dinklage untuk menjalani penggambaran Avengers: Infinity War (sekiranya peranan itu berjaya diperolehi) sebelum musim yang seterusnya memulakan penggambaran pada pertengahan tahun ini.

Sekiranya benar beliau muncul dalam Avengers: Infinity War, pelakon yang pernah memegang watak Bolivar Trask dalam francais X-Men ini juga akan turut muncul dalam filem Avengers seterusnya setahun kemudian.

Peter Dinklage merupakan salah seorang pelakon berprofil tinggi yang akan muncul dalam filem ketiga Avengers tersebut yang dikatakan bakal menampilkan hampir kesemua adiwira Marvel Studios sejak mula diperkenalkan pada tahun 2008. Ia juga dijangka akan menyaksikan pertembungan sulung mereka yang dinanti ramai menentang seteru bernama Thanos lakonan Josh Brolin yang membuat penampilan sulungnya sejak babak penamat kredit filem Avengers (2002).

Avengers: Infinity War turut dibintangi bintang-bintang popular lain seperti Robert Downey Jr., Mark Ruffalo, Chris Pratt, Zoe Saldana, Jeremy Renner, Benedict Cumberbatch, Brie Larson dan ramai lagi yang akan ditayangkan pada 4 Mei, 2018. Filem ini akan disusuli dengan sambungannya pada 3 Mei, 2019 yang masih belum berjudul dengan masing-masing diarahkan oleh Joe dan Anthony Russo.

Last modified: January 12, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *