REVIEW | Batman v Superman: Dawn of Justice

859

Written by:

Ya. Kami yakin ramai yang sudah tonton filem ini sejak ia mula ditayangkan pada hari pembukaannya minggu lalu. Dan pasti berkali ganda lebih ramai lagi pada cuti hari hujung minggu. Apa tidaknya, ini adalah filem tentang dua ikon superhero tersohor milik DC Comics dan Warner Bros. Sekaligus merupakan antara filem besar yang paling dinanti-nantikan pada tahun 2016 ini setelah dianjak setahun tarikh tayangannya pada tahun lalu.

Pengharapan pastinyanya tinggi. Harapan tentulah menggunung.

Kedengaran banyak komen dan ulasan di laman media sosial terutamanya sekali di ruangan Facebook. Biarpun tempoh tayangannya di pawagam belum pun mencecah seminggu, kerakusan serta keghairahan penonton dan peminat tidak dapat dibendung lagi. Masih berlarutan hingga ke saat ini.

BatmanVSupermanDawnOfJusticePoster22

Ada yang sangat suka dan mahu tonton lagi buat kali kedua atau mungkin berulang kali lagi.

Ada yang amat benci dan sumpah sudah tidak mahu beri peluang lagi pada DC untuk pulih kembali.

Namun hakikatnya jelas dan mudah: Semua yang ada di sini masih lagi mahu menghargai filem bergenre superhero atau adaptasi komik yang ada ura-ura dikatakan sudah hampir hilang sengatnya sejak kebelakangan ini. Namun, telahan ini meleset apabila Hollywood masih lagi berpegang teguh pada formula yang sama dan masih berhasil. Baik atau buruk hasil persembahan sesuatu naskah filem di pawagam itu, terutama sekali yang dinanti ramai  seperti filem ini sudah tentunya akan mendapat perhatian. Penonton filem dan peminat komik kini telah berbelah bahagi kepada dua kem rentetan review-review yang datang dari pelbagai sumber.

Rata-rata negatif.  Yang positif, tetap ada.

Batman V. Superman: Dawn Of Justice

Kami di jeda.my menganalisa dan melaporkan segala yang kami lihat dan dengar. Tidak kira siapa dan apa pun laterbelakang anda. Dari situ kami akan cuba review sekemas mungkin agar kita dapat sama-sama dapat berkongsi idea, ilham dan inspirasi dari filem yang ditonton. Kebetulan pula filem Batman v Superman: Dawn of Justice adalah filem pertama yang kami review dan ia nyata sesuatu yang mencabar sama sekali.

Berikut adalah review dengan spoiler kami tentang YANG O.K dan YANG K.O mengenai filem pemula musim blockbuster 2016 pilihan ramai untuk kali ini:

YANG O.K  

imaxbvssmall

1. Filem Komik Yang Seronok Lagi Menyeronokkan.

Banyak kritik yang diterima untuk filem ini mengatakan bahawa filem ini kurang fun. Ya. Walaupun filem ini terlalu rendah tahap punchline dan humornya jika hendak dibandingkan dengan filem dari Marvel, barang harus diingat bahawa tidak semua filem adaptasi komik perlu ada formula seperti Marvel Studios. Mereka perlu ada ruang dan peluang untuk mencipta identiti serta  wajah masing-masing.

Jika ini diambil kira, definasi fun itu bukan berputar sekitar humor, jenaka dan punchline sahaja. Jesse Eisenberg sebagai Lex Luthor begitu segar dan seronok ditonton manakala interaksi antara Alfred dan Tuannya Bruce Wayne amat licik. Bayangkan berapa lama Alfred harus memendam rasa dan gelora kerana ‘kedegilan’ Bruce wayne sehinggalah tiba ke usia ‘pencen’ Batman untuk meluahkannya. Lebih menarik, sekiranya anda tidak dapat berseronok melihat Batman membelasah dan bergasak dengan Superman dalam cerita ini sebelum berganding bahu untuk memusnahkan Doomsday, sedarilah bahawa jiwa anda sedang dalam kegelapan dan keresahan kerana tidak kenal lagi erti seronok.

Apapun misalannya, biarpun filem ini agak ‘gelap’ daripada filem-filem komik atau superhero yang menjadi kelaziman tontonan kita semua, setidak-tidaknya ia bukanlah sebuah naskah yang tidak ada keseronokan langsung.

BVS1.0.0

2. Ini Filem Tentang Batman Lawan Superman. BATMAN LAWAN SUPERMAN, BRO!

Seperti yang kami katakan, kami tidak mahu komen atau bercakap apa-apa tentang review yang sedia ada. Namun, kami ingin tekankan bahawa komen mengenai babak tarung antara Batman dan Superman yang dihitung lebih kurang selama 8 minit itu bukanlah satu babak tarung yang sia-sia dan membosankan. Dan kami tidak rasa juga ada penonton yang akan duduk di ruang pawagam dengan jam randik di tangan untuk mengira semua itu.

Itu bukan masalah kami. Jauh sekali ia menjadi masalah untuk menonton dua superhero legenda yang membesar bersama kita semua selama ini bergaduh, bertumbuk, bergasak dan bertarung habis-habisan kerana hampir lupa kepada konsep ‘benda boleh bincang’.

Pernah juga terdetik di hati kami yang Warner Bros. mendedahkan terlalu banyak plot cerita ini di dalam treler-treler video sebelum filem ini ditayangkan di pawagam. Tapi nampaknya ada lagi yang mereka simpan untuk penonton dan peminat yang sebenarnya. Tidak kiralah anda Team Superman atau Team Batman atau anda neutral sekalipun. Apa yang boleh kami katakan adalah tidak akan ada sesiapa pun dapat meneka siapa yang akan menang akhirnya oleh sebab masing-masing mempunyai peluang sama berat membelasah dan menggasak lawan masing-masing!

4lunlwj

3. Mahu Sesuatu Yang Baru Selain Filem Komik dari Marvel, Filem ini Dibikin Khas Untuk Anda.

Kami yakin ramai di sini suka filem-filem Marvel. Seperti juga kami. Malah, sejak hampir 10 tahun kebelakangan ini hampir majoriti genre superhero atau adaptasi komik ke filem telah dimonopoli oleh Marvel Studios.

Seperkara tentang Batman v Superman: Dawn of Justice yang harus kita pertimbangkan adalah bagaimana ia telah memberikan sesuatu yang ‘baru’, ‘fresh’ dan berbeza jika dibandingkan dengan apa yang pernah kita tonton sebelum ini. Sesiapapun tidak akan nafikan, Dunia Sinematik Marvel (Marvel Cinematic Universe) masih tidak basi dan tetap ‘sedap’ ditonton. Namun kali ini DC Comics muncul dengan Dunia Lanjutan DC (DC Extended Universe) yang memberikan pilihan untuk kita semua.

Infinite Crisis

4. Rujukan Sumber Komik (termasuk Animasi dan Game) Yang 99% TEPAT! 

Untuk pembaca dan peminat judul-judul DC Comics sejak sekian lama, pasti akan keluar panggung wayang sambil tersenyum lebar. Ada lebih setengah dozen komik seperti The Dark Knight Returns, Crisis on Infinite Earths, Batman: Year One, Superman: Red Son dan juga animasi serta game seperti Injustice: Gods Amongs Us, Batman: Mask of Phantasm dan beberapa sumber rujukan lain telah dijadikan aset penting dalam menggerakkan filem berdurasi 151 minit ini.

BvS_PayoffPoster.indd

BvS_PayoffPoster.indd

BvS_PayoffPoster.indd

batmanvsuperman2

5. Inilah Permulaan Untuk Semesta Sinematik DC (DC Cinematic Universe)!

Kita semua tahu bahawasanya filem Batman v Superman: Dawn of Justice ini merupakan titik permulaan semesta Sinematik DC Comics. Biarpun Zack Snyder tidak putus-putus menerima kritikan demi kritikan sehingga ke hari ini tetapi beliau akhirnya berjaya merealisasikan sesuatu yang ramai pengarah tidak mahu dan tidak sanggup lakukannya sebelum ini. Sekaligus, mewujudkan platform untuk penubuhan Justice League tahun hadapan (yang juga di bawah arahan beliau!)

Screenshot_2015-12-03_00.07.22.0.0

Ini seharusnya dan wajar diberikan kredit oleh kita semua. Tidak kira sama ada peminat filem komik atau pun tidak, DC atau pun Marvel, atau pun kedua-duanya sekali. Dan Marvel kini mempunyai pesaing baharu di pawagam saban tahun, walaupun ramai yang beranggapan DC Comics dan Warner Bros. tidak mempunyai peluang langsung kerana sudah jauh ketinggalan sejak filem Iron Man (2008) terbitan Marvel Studios dan Disney Pictures diperkenalkan.

YANG K.O

upermanwalks

1. Superman Sering Dipinggirkan.

Disebabkan Batman muncul sebagai teraju utama selain Superman dalam filem ini, kebanyakan babak penting nampaknya sering dialihkan kepada Bruce Wayne berbanding Clark Kent. Henry Cavill sebenarnya teguh memegang wataknya dengan baik. Namun disebabkan portfolio dan karisma Ben Affleck lebih besar (pemenang dua Anugerah Academy untuk filem Argo dan Good Will Hunting), Superman seolah-olah tidak mendapat babak tayang yakni screentime yang seimbang jika hendak dibandingkan dengan Batman.

jesse-eisenberg-lex-luthor

2. Lex Luthor Boleh ‘Pergi’ Lagi.

Jesse Eisenberg memberikan persembahan padu sebagai Lex Luthor moden yang lebih muda, karismatik dan cukup berbeza jikalau mahu dibandingkan dengan Gene Hackman (Superman, Superman II, Superman IV) dan Kevin Spacey (Superman Returns) sebelum ini. Memang tepat dengan pembawaan era dan zaman ini.

Ibarat melihat jelmaan Steve Jobs dan Mark Zuckerberg versi sadis serta kejam (Oh! Tunggu. Jesse Eisenberg pernah memegang watak Mark Zuckerberg dalam filem The Social Network lima tahun dulu), kemunculan Lex Luthor generasi hipster ini bakal mengubah sahsiah stereotaip seteru Superman ini sejak sekian lama. 

Namun skrip yang disediakan untuk beliau tidak dapat menjelaskan dengan teliti mengapa beliau begitu benci dan amat sangat mahu menghapuskan Superman. Sedangkan Lex Luthor merupakan salah seorang penjenayah dan supervillain yang paling bijak sekali dalam sejarah penerbitan DC Comics. Malah lebih mengagumkan beliau tidak mempunyai sebarang superpower pun untuk melawan makhluk Kryptonian sekuat dan sehebat Superman.

Screen-Shot-2016-01-26-at-13.49.58

3. Lepas Mimpi, Mimpi. Lepas tu, Mimpi Lagi…

Tindakan Zack Snyder yang meluluskan dan membenarkan plot cerita yang mempunyai lebih dari satu babak mimpi (lebih-lebih lagi untuk watak Bruce Wayne/Batman) jelas merencatkan alunan dan momentum cerita dari babak ke babak. Kerana jarang ada filem Hollywood, tambahan pula filem superhero yang ada sehingga TIGA babak mimpi!

Kecuali kalau filem ini adalah filem roman Melayu melodramatik atau hantu seram. Itu dari mula sampai habis mimpi pun, esok orang boleh maafkan dalam diam dan tonton sekali lagi. 

bvsbts2

4. Berapa Banyak Slow Motion Daa…

J.J Abrams pernah mengakui bahawa teknik lens flare beliau kadangkala agak melampau dan kadangkala tidak perlu (rujuk Mission Impossible III, Super 8, Star Trek) dalam hampir semua filem arahannya. Harap Zack Snyder juga dapat sedar teknik slo-mo beliau nampaknya perlu dikurangkan kerana dalam filem ini ia tampak sudah ‘melebih-lebih’ jika dibandingkan dengan filem 300, Watchmen dan Sucker Punch sebelum ini.

Mula cerita ini dengan slo-mo. Mahu habis filem ini pun ada slo-mo. Tengah-tengah wayang, itu lagi banyak slo-mo.

Barang harus diingat bahawa pengarah filem ini juga pernah menjadi rakan sekuliah, sekelas dan seperguruan kepada pengarah filem-filem Transformers, Michael Bay semasa sama-sama menuntut ilmu filem di ArtCenter College of Design di California dulu. Jadi tidak hairanlah kalau perangai beliau sama liat dan tebal seperti rakan sekelasnya itu. Makin dikritik, makin menjadi pula!

Batman V. Superman: Dawn Of Justice

5. Empat Filem Dalam Satu Tayangan.

Ya. Memang betul. Macam tonton empat filem yang dimampatkan sekaligus dalam tempoh masa 2 jam 31 minit.

Ada cerita Superman. Ada cerita Batman. Ada cerita Batman lawan Superman. Ada cerita Wonder Woman dan acah-acah anggota Justice League yang lain.

Penat. Letih. Untuk yang tidak dapat cukup rehat sebelum masuk pawagan dan menghidapi kesukaran bernafas seperti asma dan resdung, dinasihatkan untuk tonton dengan tanggungan risiko sendiri. Kerana kalau tidak ada yang pengsan kebosanan atau kepenatan, anda boleh mungkin boleh pengsan kerana sesat tidak jumpa jalan keluar dari cerita ini sendiri!

PEMARKAHAN JEDA

PLOT + CERITA : 6/10

SKRIP + DIALOG : 7/10

WATAK + PERWATAKAN : 6/10

PEMILIHAN PELAKON : 7/10

ARAHAN : 7/10

EFEK + KESAN KHAS : 7/10

SINEMATOGRAFI : 8/10

RUNUT BUNYI : 8/10

PROP+KOSTUM : 7/10

RUJUKAN SUMBER : 7/10

Batman V. Superman: Dawn Of Justice

MARKAH TOTAL : 70/100

Last modified: March 30, 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *