Rangga vs Adnan Sempit dalam Treler Terbaru Interchange!

990

Written by:

Treler filem terbaharu arahan pengarah Bunohan, Dain Said hadir hari ini dan ia tampak mengagumkan.

Filem yang berjudul Interchange itu menampilkan bintang ternama Indonesia yang popular menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta, Nicholas Saputra sebagai Belian dan juga pemenang tiga kali Anugerah Bintang Popular Malaysia, Shaheizy Sam yang berperanan sebagai Detektif Man.

Selain itu, filem ini juga dibintangi pelakon popular Indonesia Prisia Nasution yang pernah memenangi Pelakon Wanita Terbaik FFI menerusi filem Sang Penari dan pelakon baru berbakat besar menerusi filem Terbaik Dari Langit (Nova) iaitu Iedil Putra.

Tonton treler teaser rasmi Interchange di bawah ini:

Pengarah Dain Said sebelum ini amat dikenali menerusi filem Dukun yang dihalang tayangannya di Malaysia dan Bunohan yang diangkat sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-25.

Selain Filem Terbaik, filem Bunohan turut memenangi kategori Pengarah Terbaik untuk Dain Said, Pelakon Lelaki Terbaik (Faizal Hussein), Lakonlayar Terbaik, Cerita Terbaik, Muzik Asal Terbaik dan Rekaan Produksi Terbaik.

Filem itu juga memenangi gelaran Filem Terbaik di Anugerah Skrin 2012.

Kos penerbitan filem Interchange dianggarkan sebanyak RM3.5 juta telah dilaburkan oleh Sonneratia Capital, Seeing Eye Films dan MDEC. Manakala lakon layar ditulis oleh Dain Said, June Tan, Nandita Solomon dan Redza Minhat.

Interchange

Berikut pula merupakan sinopsis penuh untuk filem Interchange:

Mengisahkan Adam, seorang jurufoto forensik yang kerjayanya setiap hari adalah melihat tubuh-tubuh yang dikerat menerusi lensa kameranya. Dia menyertai rakan setugasnya, Detektif Man yang sedang melakukan siasatan terhadap beberapa siri pembunuhan mengerikan yang berlaku di Kuala Lumpur. Sewaktu sedang menyiasat satu kes pembunuhan mengerikan, Adam berkenalan dengan seorang perempuan misteri, Iva yang merupakan jiran barunya. Melalui persahabatannya dengan Iva, Adam mula mendapatkan kehidupannya semula dan mereka jatuh cinta. Iva mendedahkan yang dirinya merupakan seorang bomoh berasal dari Borneo yang sedang mencari jati diri suku kaumnya yang telah terperangkap dalam kaca negatif selama 100 tahun. Sedekad yang lalu, seorang etnografi dari Eropah telah mengambil gambar suku kaumnya sehingga telah memerangkap jiwa mereka ke dalam plat kaca negatif. Sejak hari itu, Iva telah mengembara ke seluruh Asia untuk berusaha mengembalikan jiwanya supaya dia boleh mati dengan tenang. Belian, semangat suku kaumnya merupa bentuk sebagai manusia untuk memastikan dia tidak menyeleweng daripada tugasnya. Adam mahu membantu Iva mencapai usahanya untuk mati dengan tenang. Untuk berbuat demikian, Adam perlu melangkah ke dalam dunia Iva yang penuh dengan pembunuhan, keghairahan dan ilmu hitam.

Filem itu menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan dijangka bakal ditayangkan kepada umum menjelang hujung tahun ini.

 

Last modified: May 13, 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *