Review | CAPTAIN AMERICA: CIVIL WAR

761

Written by:

Sebagai pembuka tirai Fasa 3, Captain America: Civil War secara padu telah membuka lembaran baharu dan memperkenalkan beberapa watak berimpak tinggi yang bakal mewarnai Semesta Sinematik Marvel (Marvel Cinematic Universe/MCU).

Dengan meminumkan elemen klise yang pernah kita tonton sebelum ini, watak Spider-Man dan Black Panther tampak amat mudah diterima dan disukai oleh penonton meskipun kedua-dua superhero ini belum lagi muncul dengan filem solo mereka sendiri sehingga tahun hadapan. Dan yang pasti, filem ini merupakan naskah yang terbaik sejak Iron Man (2008) hingga Ant-Man (2015) setakat ini.

Lebih penting daripada sekadar perkenalan kepada Spider-Man dan Black Panther, filem MCU yang ke-13 ini juga mempersembahkan kepada kita semua sebuah konsep cerita yang lebih berat tetapi seronok dan segar untuk dinikmati. Konflik yang dibina nampaknya tidak memerlukan penjelasan yang panjang lebar dan persoalan-persoalan yang tergantung kerana rasional serta punca penyebabnya sudah pun dijelaskan melalui barisan filem MCU sebelum ini. Selain itu, semua watak-watak superhero yang sedia ada juga menjadi semakin mantap dengan fokus dan premis plot kali ini: ‘Anda berpihak pada siapa?’.

Ditambah pula lagi dengan konflik peribadi yang menjadi penggerak utama supaya filem ini mencetuskan Perang Saudara Superhero pertama dalam sejarah.

Dan ia ternyata berhasil.

Civil-War-95

Perlembagaan Sokovia. Akta dan perjanjian bersekutu daripada kerajaan dunia yang akhirnya membuatkan Avengers ‘retak menanti belah’.

Secara kronologikal, filem ini adalah sekuel langsung dari Avengers: Age of Ultron atau boleh juga dilabel sebagai Avengers 2.5. Setelah kehancuran bandaraya-bandaraya besar seperti New York, Washington dan Sokovia yang diakibatkan pertempuran superhero-superhero Marvel, kerajaan-kerajaan dari seluruh dunia akhirnya bersepakat dan membuat keputusan untuk memantau semua pergerakan serta modus operandi Avengers agar tidak lagi ada korban yang serius. Maka bermula dari ketika inilah semua Avengers menunjukkan sisi lain yang belum pernah ditampilkan dalam filem-filem sebelum ini. Kita akan mula berasa benci dan marah kepada beberapa anggota Avengers. Kerana buat pertama kalinya juga kita seolah-olah dipaksa untuk menjadi saksi kepada 100% sisi gelap mereka yang muncul secara semulajadi.

Captain-America-Civil-War-Tony-Stark-Meeting

“Kadangkala aku rasa macam mahu tumbuk tepat dekat gigi kau yang sempurna itu!”, tengking Tuan Tony kepada Kapten Rogers.

Meskipun pada peringkat awal filem ini kita sudah dapat ramal isu-isu yang mereka akan hadapi, secara dasarnya filem ini hanya mempunyai satu motif: Rahsia sulit dan vendetta terpendam yang telah lama tersimpan dalam naluri setiap anggota Avengers. Siapa sangka bahawa sisi gelap yang wujud dalam watak protagonis Tony Stark dan Steve Rogers tampak lebih kritikal dari watak antagonis Baron Zemo yang berperanan sebagai penjahat utama.

Ini bukti jelas bahawa dengan pembangunan watak yang berterusan dan melalui plot cerita yang baik, sebuah konflik dapat disampaikan dengan jelas tanpa harus diterangkan satu-persatu seperti kebanyakan filem-filem superhero atau adaptasi komik yang lain.

Captain-America-Civil-War-Trailer-2-Bucky-vs-Stark

Masing-masing kawan baik Captain America. Tapi yang mana satu lebih akrab dan benar-benar faham jiwa dan raga beliau?

Pertembungan kedua kubu kuat superhero antara Captain America dan Iron Man mulai terasa apabila babak kedua filem ini umemunculkan dua watak baharu iaitu Spider-Man dan Black Panther. Mereka memiliki perwatakan dan latarbelakang yang sangat kuat dan cukup kontra jika dibandingkan dengan watak-watak lain. Yang mencuri perhatian sudah tentu Tom Holland yang beraksi sebagai Peter Parker/Spider-Man. Begitu pula dengan Black Panther yang kental dengan sifat kepemimpinan yang bijaksana meskipun kadangkala bertindak melulu dalam membuat keputusan.

Teraju utama Steve Rogers/Captain America yang sudah muncul dalam beberapa filem MCU sebelum ini tampil lebih karismatik dan lebih keras. Ia semakin kukuh dengan sikap tegasnya dan memiliki sifat setiakawan yang sangat tinggi. Ini sebaliknya terjadi kepada Tony, yang kini dilihat lebih konservatif dan semakin gentar mengambil risiko.

Screen-Shot-2015-11-25-at-5.42.15-pm

Ada masa kita harus berubah demi kepentingan peribadi dan rasa kenang budi. Inilah yang terjadi pada Tony, Steve dan Bucky!

Dengan perkembangan kedua-dua watak dan perwatakan ini jelas menunjukkan bahawa Christopher Markus dan Stephen McFreely selaku penulis lakon layar sangat komited dan rajin membuat rujukan. Biarpun unsur seronok dan santai yang ada menerusi barisan filem MCU terdahulu tetap terjaga dalam filem ini, namun saduran dialog yang kompleks tetapi senang untuk dicerna serta difahami membuatkan plot cerita tampak bijak sama sekali.

Untuk gaya dan teknik pengarahan, Anthony dan Joe Russo cukup hebat. Bahkan, naskah kali ini seperti menggunakan kaedah Marvel yang semalam ini belum dicuba. Dari segi visual ia perlu kerana setelah hampir 8 tahun Marvel Studios bergerak, pembaharuan perlu dilakukan. Banyak adegan aksi yang ditampilkan dengan corak suntingan padat membuat filem ini terasa dinamik sepanjang putaran, terutama sekali babak pertarungan jarak dekat antara Captain America dan Iron Man. Jika diamati, gaya cerita secara visual mereka adalah yang paling berbeza sekali daripada semua filem-filem MCU sebelum ini (kecuali filem Thor (2011) arahan Kenneth Branagh yang dominan menampilkan sinematografi luarbiasa dan komposisi yang unik).

Dan ramai yang pastinya bersetuju apabila kami katakan babak tarung dan tempur di Lapangan Terbang Antarabangsa Leipzig Halle di Jerman itu boleh dinobatkan sebagai babak AKSI TERBAIK sekali dalam sejarah filem adaptasi komik dan superhero sejagat!

Captain-America-Civil-War-Trailer-2-Black-Panther

Black Panther. Ketua Kerajaan dan Kerabat daripada Wakanda tampil memberi sentuhan segar dalam filem ini.

Captain-America-Civil-War-Spider-Man-Costume-Eyes-Official

Setelah Tobey Maguire dan Andrew Garfield, kini tiba giliran Tom Holland memegang tanggungjawab sebagai watak Marvel kegemaran ramai iaitu Peter Parker/Spider-Man!

Secara keseluruhan, Captain America: Civil War berhasil menunjukkan bahawa Marvel semakin serius dalam menggarap semesta superheronya. Dan jika dilihat dari bukti hasil filem ini, maka adik-beradik Russo adalah pilihan yang tepat untuk menangani Avengers: Infinity War, Part I (2018) dan Avengers: Infinity War, Part II (2019).

Bila kita menganggap Marvel Cinematic Universe sebagai sebuah rangkaian filem bersiri, jelas Captain America: Civil War adalah siri penting dan utama yang paling kuat serta cemerlang untuk Fasa 3 setakat ini. Di penghujung babak filem ini, para penonton pastinya akan lebih teruja lagi untuk menonton kesinambungan selanjutnya tentang apa yang telah dan bakal berlaku antara superhero-superhero itu tadi.

Ini sesuatu yang kami rasakan mustahak dan penting untuk para peminat terutamanya pengikut Marvel kekal bersama mereka untuk satu jangka masa yang panjang dan tempoh yang berkekalan selagi wujudnya MCU.

captain-america-civil-war-chris-evans-sebastian-stan-joe-anthony-russo

Filem seterusnya yang bakal diarahkan oleh adik-beradik Russo ini sudah tentunya adalah Avengers: Infinity War, Part I (2018) dan Avengers: Infinity War, Part II (2019)

Rating: 8/10

Last modified: April 29, 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *