Review: ADA APA DENGAN CINTA? 2

1325

Written by:

Menonton filem Ada Apa dengan Cinta? 2 (AADC 2) mungkin dirasakan tidak jauh bezanya daripada menghadiri reunion sekolah atau kolej/universiti.

Berjumpa kawan dan kenalan lama sambil bertukar-tukar kisah lama. Ada khabar berita yang baik dan menyeronokkan dan ada juga cerita dan perkongsian yang sedih dan mendukacitakan.

AADC 2 dengan tepat sekali telah menjelmakan segala harapan kita pada kenangan dan memori itu.

 

.

.

.

.

.

AMARAN AWAL: Entri ini ada KANDUNGAN SPOILER.

Sila baca dan maju dengan risiko sendiri. 

.

.

.

.

.

 

Pemula cerita, kita dapat lihat Milly (Sissy Priscilla) dan Maura (Titi Kamal) kini sedang sibuk dengan kehidupan sebagai ibu muda. Sebaliknya, Karmen (Adinia Wirasti), hadir membawa cerita pilu kerana baru keluar dari sebuah pusat pemulihan dadah akibat daripada ketagihan.

Manakala hubungan melankoli teraju utama filem ini iaitu Rangga (Nicholas Saputra) dan Cinta (Dian Sastrowardoyo) sama sekali sudah jauh berbeza besar dan berubah begitu ketara daripada penutup filem pertama Ada Apa dengan Cinta (2002).

Ada-Apa-Dengan-Cinta-AADC-2

Perpisahan mereka ketika di lapangan terbang kira-kira 14 tahun yang lalu yang masih segar dalam kotak kenangan penonton dan peminat AADC, ternyata sudah malap. Kini, Cinta telah bertunang dengan kekasih baharunya, Trian (Ario Bayu). Sementara di bandaraya New York, Rangga masih sendirian: Berpuisi. Berfotografi. Beremosi dan terus beremosi seperti selalunya. Dan seperti yang diramal ramai, takdir yang akhirnya membawa Rangga dan Cinta bertemu kembali.

062576900_1461594497-aadc_2

Mereka dipertemukan di Yogyakarta pada ketika Cinta dan teman-teman rapatnya bercuti ke Kota Gudeg. Sementara Rangga berniat mahu bertemu ibu kandungnya setelah mendapat berita yang ibunya sedang sakit dan amat merindui serta mahu bertemu Rangga. Setelah dimaklumkan oleh Karmen dan Milly tentang kehadiran Rangga di situ, Cinta menjadi keliru dan serba salah. Namun, akhirnya Cinta bersedia menemui Rangga dengan satu alasan: Mencari jawapan mengapa sembilan tahun sebelumnya bekas kekasihnya itu tiba-tiba memutuskan hubungan mereka dan menghilang diri seperti ditelan bumi.

Ya, Rangga dan Cinta telah lama berpisah. Satu rentetan plot yang sengaja mahu membuatkan peminat-peminat AADC resah dan kecewa. Apa pun, ini juga adalah perkembangan yang dirasakan cukup masuk akal kesan daripada hubungan cinta jarak jauh yang sudah mencecah jangka masa 14 tahun. Atas alasan inilah yang membuat AADC 2 terasa lebih realistik dan logik. Pada usia remaja apatah lagi sedang bercinta, ia sememangnya mencabar nurani dan membebankan jiwa.

Bukan hanya hubungan dua teraju utamanya, malah hampir semua watak dalam filem ini memiliki perkembangan perwatakan yang jelas. Berbeza dengan film pertama, semua watak-watak dalam filem AADC 2 terasa lebih matang dan ‘masak’. Malahan mampu untuk berdialog dengan dialog yang tidak klise perihal hubungan cinta. Sesetengahnya juga mengajar supaya jangan mudah jatuh pada perangkap hati dan jerat percintaan ciptaan nuansa muda-mudi.

096748200_1459166155-AADC__39_of_263_

Satu lagi sudut perkembangan watak yang menarik adalah teman-teman rapat Cinta. Karmen misalannya. Karmen kini tidak lagi mewakili imej gadis kuat (strong girl) melalui warna-warni persahabatan di antara mereka seperti dalam filem sebelum ini. Untuk AADC 2, Karmen dilihat memiliki sisi rapuh dan lemah yang dipamerkan secara halus oleh Adinia Wirasti dan ini jelas merupakan perkembangan lakonan yang cemerlang jika hendak dibandingkan dengan watak Karmen semasa remaja.

Tidak keterlaluan jika dikatakan sebenarnya perwatakan ini sebenarnya menggantikan perwatakan Alya (yang tidak muncul dalam sekuel ini) sebagai watak menderita yang menjadi pegangan untuk sisi teman  emosional dan sengsara buat Cinta. Dan ya: Sebenarnya tidak dapat dinafikan ada yang rindu akan kelibat Alya yang dimatikan dalam sekuel ini.

ladya-cheryl_2408_20150824_161942

Tidak cukup dengan itu, Rangga juga terasa lebih kompleks dan rumit dalam AADC 2. Jejak kehidupan Rangga yang mencabar di masa lalu masih lagi bermain-main dalam benak ingatan kita dengan pembawakan wataknya kini.

Sebagai contoh, penonton dengan mudah akan percaya bahawa Haruki Murakami (yang jika diamati dengan teliti novelnya berserakan di ats meja kerja Rangga) adalah novelis kegemarannya.

046447400_1459166484-AADC__144_of_263_

Namun ada juga perkembangan terbaru dan menarik dari watak Rangga. Rangga tidak hanya kekal pendiam dan tampak asyik mahu menyendiri sepertimana dalam film pertama. Kini, Rangga memperlihatkan julat emosi yang lebih luas. Sifat dinginnya memang masih terasa tetapi ini juga dapat meledak rasa marah, sedih bahkan juga sering membuatkan kita tersenyum sendiri dek kerana kelicikan sahsiah Rangga. Malah Rangga kali tempak lebih ‘berwarna-warni’ dengan spektrum peribadinya yang telah dewasa.

Selain itu, ia juga menjadikan hubungan Rangga dan Cinta lebih asertif. Ketika babak bertemu kali pertama di Yogyakarta, Rangga dengan sedikit senyap telah merencana sesuatu sepanjang masa berpeluang untuk bersama Cinta. Hasilnya, pertemuan semula yang pada asalnya hanya direncanakan selama satu jam berlanjutan hingga ke malam, bahkan menembus ke waktu pagi. Drama satu malam ini akhirnya jadi penentu hubungan kedua pasangan ikonik ini (untuk selamanya).

084886900_1459167072-PP__771_of_952___Large_

Seperkara lagi yang menarik tentang AADC 2 adalah bagaimana filem ini adalah begitu berbeza sekali jika hendak dibandingkan dengan filem pertamanya. Bukan hanya filem pertamanya khusus untuk remaja dan kali ini lebih untuk dewasa, persoalan dan naratif filem itu sendiri jelas dalam dua kelas yang tersendiri.

Pertengahan plot cerita AADC 2, iaitu semasa Rangga dan Cinta sedang asyik berjalan-jalan di Yogyakarta, filem ini secara tidak langsung sengaja direka sebagai sebuah filem kembara (road trip). Perjalanan secara fizikal yang mana kedua teraju utama filem ini menjelajah hampir seluruh pelosok Yogyakarta dan sekaligus menelusuri perjalanan jiwa dan hati: Pada ketika Rangga dan Cinta cuba mengenal kembali insan yang pernah sama-sama bercinta dan mencintai.

Yang terjadi kemudian, mengingatkan pada atmosfer film Before Sunrise (1995) atau Before Sunset (2004) yang dibintangi oleh Ethan Hawke dan Julie Delpy. Lupakan Before Midnight (2013). Rangga dan Cinta akhirnya bebas berbicara tentang apa sahaja. Mulai dari kopi, holiday vs traveling, jumlah anak saudara dan banyak hal-hal lainnya. Bicara penting dan tak penting, semuanya beraliran jadi satu.

020431800_1459167162-PP__834_of_952___Large_

Ya. Ini memang membuatkan plot terasa lambat dan kadangkala meleret. Apalagi pengarah Riri Riza yang ternyata begitu gemar melayan kerenah dan ragam Rangga dan Cinta dalam perjalanan mereka ‘mencari’ diri mereka masing-masing yang telah ‘hilang’. Mungkin kesan kopi yang mereka minum atau pertunjukan boneka kertas yang mereka tonton. Namun, hal ini lunas dibayar tunai dengan interaksi antara Rangga dan Cinta yang membuatkan jantung penonton naik turun di sepanjang perjalanan mereka itu.

Perjalanan satu malam ini akhirnya berkesudahan pada satu persoalan besar: Apakah Rangga dan Cinta akan kembali bersama?

Jawapannya sudah pasti wajib anda alami sendiri apabila Ada Apa dengan Cinta? 2 akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Indonesia dan Brunei pada 28 April, 2016.

 

RATING : 7 / 10

 

Last modified: April 29, 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *